AGBA (tengah) ketika menyarung jersi Sarawak United. FOTO AIZUDDIN SAAD
AGBA (tengah) ketika menyarung jersi Sarawak United. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan akan mengheret pengurusan tertinggi Sarawak United ke muka pengadilan membabitkan tunggakan gaji bekas pemain tempatan, langkah sama turut diambil tonggak import pasukan itu.

Ia disahkan peguam, Zhafri Aminurashid yang mewakili dua bekas import Sarawak United, Uche Agba dan Sandro da Silva.

Jelas Zhafri, langkah terakhir mengheret ke mahkamah itu akan diambil sekiranya kelab terbabit masih mengingkari arahan Fifa.

Sebelum ini, Fifa sudah mengarahkan Sarawak United menjelaskan tunggakan gaji Sandro berjumlah RM150,000 namun pasukan itu hanya mengkreditkan bayaran minimum RM40,000 sahaja.

Manakala, prosiding kes Uche pula akan mula didengar di peringkat Fifa hari ini, di mana tunggakan yang gagal dibayar berjumlah RM160,000.

"Kita juga akan heret kes ini ke mahkamah jika Sarawak United terus berdiam. Tapi sebelum itu, kita kena selesaikan dulu semua proses dan peringkat dalam Fifa.

"Jika semua peringkat dalam Fifa dah selesai dan Sarawak United tetap ingkar, jalan terakhir kita akan bawa kes pemain import ini ke mahkamah bagi menuntut hak mereka," katanya.

Berdasarkan beberapa contoh kes yang pernah dilaporkan Arena Metro sebelum ini, pemain Kuantan FA dan Marcerra United antara yang berjaya mendapatkan semula tunggakan gaji daripada bekas majikan selepas diheret ke mahkamah.

Lantas, tindakan membawa kes ke muka pengadilan diyakini mampu membantu menyelesaikan isu terbabit, di mana pengurusan Sarawak United berisiko untuk dipenjarakan jika masih culas untuk menyelesaikan tunggakan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 6:57 PM