SANDRO da Silva bawa isu tunggakan gaji ke Fifa.
SANDRO da Silva bawa isu tunggakan gaji ke Fifa.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Sudah keterlaluan dan kini pengurusan tertinggi Sarawak United bakal diheret ke mahkamah bagi menuntut keadilan.

Demikian tindakan bakal diambil peguam, Zhafri Aminurashid yang mewakili anak guamnya iaitu dua bekas pemain import Sarawak United, Uche Agba dan Sandro da Silva.

Menurut Zhafri, pihaknya sudah melalui pelbagai peringkat dalaman termasuk membawa kes tunggakan gaji terbabit kepada Fifa.

Namun sikap tidak peduli pengurusan Sarawak United biarpun Fifa sudah mengeluarkan arahan penyelesaian termasuk mendenda menerusi pemotongan mata terhadap kelab itu, pasukan itu masih lagi tidak melunaskan tunggakan yang ada.

Lantas, mengheret pengurusan lama kelab terbabit ke mahkamah adalah jalan terakhir bagi mendapatkan hak dan keadilan.

"Selepas segala usaha perundangan di Fifa gagal, sudah tiba masanya kami heret pasukan terbabit ke mahkamah sivil untuk menuntut hak pengadilan kepada pemain.

"Ini disebabkan keengganan dan kedegilan pihak pengurusan menyelesaikan masalah gaji meskipun sudah menerima arahan dari Fifa, ini adalah jalan terakhir untuk kami bawa kes berkenaan mahkamah," katanya kepada Arena Metro secara eksklusif.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan kes Sandro yang sudah diputuskan Fifa pada tahun lalu di mana Sarawak United diarahkan untuk menjelaskan pembayaran penuh dilihat masih berdegil apabila hanya membayar minimum sekitar RM40,000 dengan nilai tunggakan sebenar sebanyak RM150,000.

Manakala prosiding kes Uche pula yang sudah didengar di peringkat Fifa pada 31 Mac lalu, menyaksikan pengurusan kelab itu harus membayar tunggakan berjumlah RM160,000.

Tambah Zhafri lagi, pihaknya turut akan menggabungkan kes-kes bekas pemain Sarawak United yang lain untuk dibawa ke mahkamah.

"Kami juga mendapat permintaan untuk menggabung kesemua tuntutan pemain-pemain lain untuk di bawa ke mahkamah sivil. Perundangan sivil membolehkan pemilik kelab dipertanggungjawabkan secara peribadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 4:19 PM