SANDRO (kiri) dikatakan hanya menerima 70 peratus gaji bagi dua bulan pertama iaitu Januari dan Februari. FOTO NSTP
SANDRO (kiri) dikatakan hanya menerima 70 peratus gaji bagi dua bulan pertama iaitu Januari dan Februari. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Isu tunggakan gaji tampaknya tiada berpenghujung, malah ia seakan barah yang terus mencalar imej Liga Malaysia (Liga-M) apabila satu lagi pasukan culas dalam menyelesaikan gaji pemain.

Kali ini pemain import Sarawak United, Sandro menjadi mangsa 'virus' ini apabila difahamkan gagal membayar gaji penuh sejak menyertai pasukan sejak Januari lalu hingga kini.

Sandro yang menyertai Sarawak United dari Selangor FC dikatakan hanya menerima 70 peratus gaji bagi dua bulan pertama iaitu Januari dan Februari, sebelum langsung tidak membayar apa-apa kepada pemain tengah itu untuk bulan Mac dan April.

Malah, Sarawak United juga gagal menjelaskan elaun rumah dan kereta bagi bulan Mac dan April dengan nilai keseluruhan tunggakan gaji serta elaun dianggarkan ratusan ribu ringgit.

Peguam yang mewakili Sandro, Zhafri Aminurashid berkata, pengurusan Sarawak United diberi tempoh 15 hari iaitu sehingga 22 Mei ini bagi menyelesaikan segala tunggakan itu kepada anak guamnya.

Sekiranya gagal, kes ini akan diheret ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bagi menuntut hak pemain itu.

"Kalau tak jelaskan mengikut masa diberikan, kita akan bawa kes ini ke Fifa. Apapun kita masih menunggu tindakan lanjut pihak Sarawak United atas tuntutan ini," katanya kepada Arena Metro.

Sarawak United ketika ini berada pada landasan terbaik untuk meraih slot ke Liga Super musim depan selepas menghuni tangga teratas Liga Perdana setakat ini.

Bagaimanapun, dengan isu terbaharu ini, Sarawak United boleh berdepan hukuman berat daripada Fifa sekiranya didapati bersalah gagal menjelaskan gaji Sandro yang diikat sehingga 31 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 8:47 PM