AGBA (kiri) ketika beraksi untuk Sarawak United. FOTO ARKIB NSTP
AGBA (kiri) ketika beraksi untuk Sarawak United. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah situasi yang menghimpit Sarawak United ketika ini selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) mengesahkan kelab itu gagal mematuhi kontrak pembayaran gaji bekas pemain importnya, Uche Agba.

Prosiding kes tuntutan Agba itu berlangsung di ibu pejabat Fifa di Zurich, Switzerland, pada 31 Mac lalu dan hasil keputusan itu disahkan pada 3 April lalu oleh Ketua Status Pemain Fifa, Erika Montemor Ferreira.

Susulan itu, salinan arahan Fifa sudah dikemukakan kepada Sarawak United dan peguambela Agba iaitu Zhafri Aminurashid apabila pasukan itu diperintahkan untuk membayar tunggakan hampir RM200,000 dalam tempoh 45 hari.

Jelas Zhafri, Sarawak United perlu menyelesaikan tunggakan itu dalam tempoh ditetapkan dan jika masih gagal, pasukan itu boleh dikenakan sekatan perpindahan pemain untuk tiga jendela.

"Kalau ikutkan pada arahan diputuskan Fifa, mereka (Sarawak United) perlu membayar tuntutan itu dalam tempoh 45 hari.

"Jika tidak mereka boleh dikenakan 'transfer ban' tiga tingkap perpindahan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ini adalah kes kedua di bawah Fifa apabila sebelum ini Sarawak United diarahkan menjelaskan tunggakan gaji seorang lagi pemain import, Sandro da Silva berjumlah RM150,000 pada musim lalu.

Namun, hasil semakan, Sarawak United hanya mengkreditkan bayaran minimum RM40,000 sahaja kepada Sandro dengan baki tunggakan lagi masih tertunggak.

Manakala di peringkat domestik pula, Sarawak United masih berhutang dengan pemain tempatan apabila Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mendedahkan kelab itu gagal membayar tunggakan gaji sebanyak RM400,000.

Malah, kes itu sudah dibawa ke Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan (NDRC) bagi menuntut hak itu, dengan opsyen terakhir jika masih berdegil, besar kemungkinan PFAM akan mengheret Sarawak United ke mahkamah sivil.

Berdasarkan beberapa contoh kes pernah dilaporkan Arena Metro sebelum ini, pemain Kuantan FA dan Marcerra United antara yang berjaya mendapatkan semula tunggakan gaji daripada bekas majikan selepas diheret ke mahkamah.

Lantas, tindakan membawa kes ke muka pengadilan diyakini mampu membantu menyelesaikan isu terbabit apabila pengurusan Sarawak United berisiko untuk dipenjarakan jika masih culas untuk menyelesaikan tunggakan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 8:39 PM