DEMBELE (tengah) menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk memastikan Barcelona mara ke separuh akhir Copa del Rey. FOTO AFP
DEMBELE (tengah) menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk memastikan Barcelona mara ke separuh akhir Copa del Rey. FOTO AFP
Reuters

Barcelona: Jaringan Ousmane Dembele pada babak kedua memastikan Barcelona menang 1-0 ke atas Real Sociedad yang beraksi dengan 10 pemain di suku akhir Copa del Rey, hari ini, sekali gus menyaksikan mereka tidak tewas dalam 12 perlawanan.

Real Sociedad hadir dengan pencapaian sembilan kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan dan nyaris menjaringkan gol pada minit ke-29 apabila rembatan pemain muda Jepun, Take Kubo terkena palang.

Bagaimanapun, impian mereka mencipta kejutan ke atas Barca di Camp Nou musnah apabila penyerang, Brais Mendez dilayangkan kad merah pada minit ke-40 kerana kekasaran ke atas Sergio Busquets.

Barcelona jelas pasukan lebih baik pada keseluruhan perlawanan, tetapi hanya mampu menjaringkan satu gol menerusi serangan balas pantas Dembele pada minit ke-52 dan dia turut dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Pemain sayap itu meluru pantas selepas menerima umpanan jauh daripada rakan sepasukannya di Perancis, Jules Kounde sebelum merembat bola dengan kaki kanan ke penjuru kanan gawang lawan.

Sociedad sepatutnya menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian, tetapi Alexander Sorloth merembat tinggi dari dalam kotak penalti selepas hantaran lintang Kubo.

"Ia perlawanan sukar buat kami kerana selepas kehilangan seorang pemain, mereka menutup ruang dan bertahan dengan baik," kata pemain pertahanan Barca, Ronald Araujo kepada Movistar Plus.

"Saya pasti (jurulatih) Xavi akan menepuk pergelangan tangan kami dan kami sepatutnya memenangi perlawanan lebih awal.

Kini kami perlu memperbaiki kesilapan dan melangkah ke depan. Saya gembira kami menang di tempat sendiri dan meneruskan prestasi menarik."

Osasuna mengiringi Barcelona mara ke separuh akhir selepas menewaskan Sevilla 2-1 menerusi jaringan masa tambahan oleh Abde Ezzalzouli.

Chimy Avila membuka jaringan pada minit ke-71, tetapi Youssef En Nesyri menyamakan kedudukan pada minit ke-94, sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Dua lagi aksi suku akhir menyaksikan Real Madrid berdepan Atletico Madrid dan Valencia menentang Athletic Bilbao, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 8:15 AM