PEMAIN Bilbao meraikan kemenangan di Stadium San Mames. FOTO AFP
PEMAIN Bilbao meraikan kemenangan di Stadium San Mames. FOTO AFP
AFP

BARCELONA dan Real Madrid tersingkir daripada saingan Piala Raja Sepanyol selepas Athletic Bilbao dan Real Sociedad mencipta kejutan sensasi untuk mara ke separuh akhir, awal pagi tadi.

Barca tewas 0-1 kepada Bilbao di San Mames menerusi jaringan lewat dramatik Inaki Williams pada minit ke-93 manakala Sociedad menewaskan Madrid 4-3 di Santiago Bernabeu.

Dua keputusan sensasi menyaksikan Bilbao dan Real Sociedad menyertai Granada serta kelan divisyen dua, Mirandes untuk undian yang tampak janggal esok.

Kekalahan Barca amat perit selepas berdepan minggu kontroversi susulan insiden pertelagahan Lionel Messi dengan pengarah sukan, Eric Abidal dan Ousmane Dembele tersisih mungkin sehingga akhir musim akibat kecederaan hamstring.

Kecederaan Gerard Pique pada babak kedua menambah derita Barca dan belum pasti dapat berdepan Real Betis dalam aksi La Liga, Ahad ini.

Jurulatih, Quique Setien kini tewas dua daripada enam aksi pertama kendaliannya dengan saingan Liga Juara-Juara menentang Napoli makin hampir.

Manakala kekalahan Madrid yang menduduki puncak La Liga kepada Real Sociedad kurang menyakitkan walaupun gawang mereka dibolosi paling banyak dalam 11 perlawanan terakhir.

Martin Odegaard yang dipinjam ke Sociedad dari Real meletakkan pelawat di depan sebelum Alexander Isak menjaringkan dua gol lagi membolehkan Real Sociedad mendahului 3-0.

Marcelo dan Rodrygo merapatkan jurang menerusi dua gol lewat pada babak pertama tetapi Mikel Merino menambah gol keempat pelawat.

Tandukan Nacho Fernandez untuk gol ketiga Madrid menjadikan saingan tegang pada tiga minit terakhir menyaksikan Andoni Gorosabel turut dibuang padang.

Real Sociedad yang beraksi sepuluh pemain cekal bertahan untuk mara peringkat empat terakhir manakala Madrid terus kempunan trofi tempatan dalam tempoh enam tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 7:47 AM