RAPHINHA dan Alba meraikan kemenangan Barca. FOTO Reuters
RAPHINHA dan Alba meraikan kemenangan Barca. FOTO Reuters
AFP

Barcelona: Jaringan Jordi Alba memastikan kemenangan 1-0 Barcelona ke atas Osasuna awal pagi tadi sekali gus semakin hampir meraih gelaran La Liga kali pertama sejak 2019.

Skuad Xavi Hernandez berkelebihan 14 mata di hadapan pasukan di tangga kedua Real Madrid yang tewas 0-2 kepada Real Sociedad.

Pelawat beraksi 10 permain selepas Jorge Herrando dibuang padang susulan mengasari Pedri ketika mereka bertahan daripada asakan barisan penyerang tuan rumah.

Penjaga gol Osasuna, Aitor Fernandez cekal mengawal gawang pada babak kedua namun dibocori pemain gantian Alba yang meledak voli untuk kemenangan lewat.

"Tunggu dan lihat tetapi kami semakin hampir," kata Xavi. "Kami agak bergelut, terlepas beberapa peluang terbuka tetapi mujur Alba menjaringkan gol yang kadang kala menjadikan kemenangan lebih baik pada saat seperti ini."

Jurulatih Osasuna Jagoba Arrasate merehatkan beberapa tonggak menjelang final Piala Raja Sepanyol Sabtu ini manakala Barca mengekalkan skuad sama ketika menewaskan Betis Ahad lalu.

Jika Barcelona meraih dua lagi mata daripada lima perlawanan terakhir, mereka bakal muncul juara.

Sementara itu bekas pemain sayap Madrid Takefusa Kubo dan Ander meledak gol untuk Real Sociedad menentang Los Blancos dan mengukuhkan kedudukan di tangga keempat dan slot kelayakan Liga Juara-Juara.

Pertahanan Madrid Dani Carvajal dibuang padang selepas sejam perlawanan apabila menerima kad kuning kedua yang memburukkan lagi situasi Los Blancos yang akan berdepan Osasuna pada final Piala Raja Sepanyol Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 9:28 AM