DEMBELE (tengah) ledak gol penyamaan Barca. FOTO/AGENSI
DEMBELE (tengah) ledak gol penyamaan Barca. FOTO/AGENSI
Reuters

MADRID: Jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde memuji pemain sayap, Ousmane Dembele selepas jaringan pada minit akhir menyelamatkan pendahulu La Liga itu untuk mencatat keputusan seri 1-1 menentang Atletico Madrid, semalam.

Pemain antarabangsa Perancis itu meledak gol pada minit ke-90 selepas masuk sebagai pemain gantian untuk membolehkan pasukannya meraih satu mata dan terus kekal di persada liga.

Dembele sebelum ini berdepan kritikan media dan digugurkan daripada skuad Barcelona untuk perlawanan liga menentang Real Betis berikutan sikap kurang profesional suka melengah-lengahkan masa.

"Dia pemain hebat dan mempunyai bakat besar, jaringan dilakukan membuktikan kehebatannya.

"Media terlalu banyak melaporkan mengenai keburukannya. Pada perlawanan terakhir dia tidak disenaraikan, itu memang benar. Dia adalah pemain di mana kami harus bantu barulah semuanya berjalan lancar buatya dan dia pula boleh membantu pasukan. Kami mengharapkan sesuatu darinya kerana dia mempuyai bakat besar," kata Valverde.

Selepas bergelut, termasuk masalah kecederaan pada musim pertama di Barcelona ada 2017 untuk menggantikan Neymar, Dembele yang membantu Perancis muncul juara Piala Dunia ini membuktikan dia sangat efektif musim ini.

Jaringan lewat permainan dilakukannya berjaya membantu Barcelona mencatat kemenangan ke atas Sevilla dalam saingan Piala Super Sepanyol dan dia juga menjaringkan gol untuk menumpaskan Real Valladolid pada awal saingan liga.

Gol menentang Real Sociedad dan Rayo Vallecano juga membantu Barcelona mencatat kemenangan tipis, terkini ketika menentang Atletico berjaya menghalang pasukan bimbingan Diego Simeone untuk memintas The Catalans.

Barcelona gagal untuk melakukan percubaan tepat ke gawang Atletico sehinggalah tandukan Diego Costa berjaya memecah kebuntuan.

"Kami banyak mengawal permainan, namun sepakan sudut pertama mereka menghasilkan jaringan, setiap pasukan mempunyai cara mereka sendiri.

"Kami mahu mendominasi perlawanan dan melakukan serangan berdekatan kawasan petak penalti mereka namun anda harus faham mereka sangat pakar dalam situasi ini, kekal bertahan sebelum melakukan serangan balas pantas," kata Valvarde.

Jurulatih Atletico, Simeone menyangkal bahawa pasukan mereka yang sekarang ini berada di tangga kedua kurang satu mata, memang merancang hanya untuk mencari keputusan seri.

"Kami sengaja mencari keputusan seri? Siapa kata? Itu hanya pendapat anda. Saya suka kesemuanya mengenai pasukan saya, kami bekerja keras, saya mahu mengucapkan tahniah kepada pasukan," kata Simoene.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 10:09 AM