Penyerang England, Harry Kane (kiri) memberi tekanan kepada pemain Wales pada aksi Piala Dunia. FOTO AP
Penyerang England, Harry Kane (kiri) memberi tekanan kepada pemain Wales pada aksi Piala Dunia. FOTO AP
Reuters

Doha: Prospek mengenai Harry Kane tidak menjaringkan gol pada perlawanan peringkat kumpulan buat England di Piala Dunia membimbangkan peminat namun mereka tetap optimis mengenai peluang penyerang itu apabila skuad kendalian Gareth Southgate berdepan Senegal pada pertembungan 16 terbaik, awal pagi Isnin.

Kane, di mana 51 gol buat negaranya meletakkan dia dua gol di belakang pemegang rekod, Wayne Rooney, belum mencetak nama sebagai penjaring di Qatar, namun memiliki beberapa peluang melakukan percubaan tepat.

Kecederaan kaki ketika kemenangan pada perlawanan pembukaan berdepan Iran sedikit membelenggu kapten England itu, yang mencipta sejarah sebagai penjaring terbanyak pada Piala Dunia 2018 dengan enam gol.

Namun kegagalan penyerang Tottenham itu menjaringkan gol ketika ini tidak memberi impak besar apabila England mara dengan lancar ke peringkat kalah mati.

England mendahului jaringan dengan sembilan gol menerusi sumbangan beberapa penyerang lain antaranya bintang Manchester United, Marcus Rashford yang sudah pun meledak tiga gol.

Phil Foden, Raheem Sterling dan Bukayo Saka turut mencipta nama sebagai penjaring, membuatkan Southgate berdepan dilema pemilihan pemain menjelang perlawanan menentang Senegal.

Senegal dinobatkan juara Afrika awal tahun ini dan sekalipun tiba di Qatar tanpa bintang mereka Sadio Mane akibat kecederaan, skuad 'Lions of Teranga' mampu menghadirkan cabaran yang kuat tambah pula gabungan jurulatih berpengalaman dan berbakat, Aliou Cisse.

Southgate tidak perlu diingatkan beberapa keputusan di luar jangkaan kejohanan setakat ini dan England harus memberi tumpuan penuh di Stadium Al Bayt, sekalipun rekod lampau berpihak kepada mereka.

England sudah berdepan wakil negara Afrika tujuh kali di Piala Dunia tanpa tewas, sekalipun terdapat keputusan yang hampir mengejutkan sepanjang pertemuan mereka dengan paling diingati pada 1990 apabila mereka diikat Cameroon pada hujung perlawanan sebelum mencatat kemenangan 3-2 pada saingan suku akhir.

Bekas pengendali England, Glenn Hoddle berkata anak buah Southgate mempunyai kualiti berdepan Senegal yang membuka saingan pada perlawanan pembukaan dengan kekalahan ke atas Belanda namun bangkit untuk menewaskan Qatar dan Ecuador untuk mara ke kelompok 16 terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 12:03 AM