BOJAN Hodak. FOTO Aswadi Alias
BOJAN Hodak. FOTO Aswadi Alias
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak sedia memberi peluang buat pemain muda sedang meningkat naik iaitu Haqimi Azim Rosli untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia bermula malam esok.

KL City yang menamatkan kempen Piala AFC sebagai naib juara dijadualkan berdepan PDRM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.

Kata Hodak, selain Haqimi beberapa pemain muda skuad The City Boys turut berada dalam perancangannya untuk dipertaruhkan nanti.

"Saya sudah memberi ruang buat Haqimi untuk beraksi 20 minit pada pentas final Piala AFC yang lepas kerana dia adalah penyerang yang berpotensi.

"Masa depannya juga cerah kerana baru berusia 19 tahun," kata bekas jurulatih Johor Darul Ta'zim, Kelantan dan juga skuad bawah 19 tahun negara itu.

Dalam perkembangan lain, Hodak enggan memikirkan tentang status masa depannya sebaliknya mahu fokus membantu pasukan bangkit melakar keputusan positif ketika menentang PDRM FC nanti.

Difahamkan, kontrak Hodak bersama skuad Warga Kota akan berakhir pada penghujung musim ini dengan khidmatnya dilaporkan menjadi buruan kelab bola sepak dalam dan luar negara.

"Masa depan saya perlu ditanya kepada pengurusan atau mungkin bergantung pada pilihanraya umum nanti.

"Fokus utama saya sekarang adalah untuk memastikan pemain bersedia untuk harungi perlawanan bertemu PDRM nanti.

"Ini kerana saya mahu pemain mendapatkan semula aura serta magis yang sudah hilang ketika ini," katanya yang membawa KL City menjuarai Piala Malaysia pada musim lalu.

Ends…

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 4:12 PM