HAQIMI Azim Rosli. -FOTO NSTP
HAQIMI Azim Rosli. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyerang muda yang sedang meningkat naik, Haqimi Azim Rosli tidak melihat kehadiran penolong jurulatih Kuala Lumpur City FC, Shukor Adan sebagai satu kelebihan buatnya bersama skuad bawah 23 (B-23) tahun negara ketika ini.

Shukor yang dilantik selaku penolong jurulatih B-23 negara di bawah kendalian Juan Torres Garrido dianggap antara tulang belakang kebangkitan KL City dalam saingan Liga Malaysia sejak dua musim lalu, termasuk membantu kelab itu muncul juara Piala Malaysia pada 2021 dan naib juara Piala AFC musim lalu.

Lantas, Haqimi yang bersama skuad Warga Kota sejak musim lalu akui gembira apabila Shukor turut diberi tanggungjawab membimbing skuad Harimau Muda negara yang kini dalam persiapan untuk menghadapi Piala Asia B-23 di Qatar, April depan.

Begitupun, pemain tinggi lampai itu tidak menganggap dirinya bakal mendapat layanan istimewa kerana baginya Shukor adalah seorang jurulatih yang amat profesional dengan menuntut setiap pemain memberikan aksi terbaik sepanjang latihan dan perlawanan.

"Saya tak rasa ia kelebihan buat saya di skuad kebangsaan nanti. Tapi kalau nak cakap kelebihan di KL City mungkin begitu.

"Tapi sudah semestinya karektor Shukor akan berubah dan taktikal juga akan berubah. Bagi 'coach' Shukor antara KL City dan skuad negara akan berubah.

"Saya dah lama dengan beliau dan lebih kurang dua tahun di bawah kendaliannya jadi saya fikir bukan laluan mudah untuk saya.

"Sebaliknya saya perlu berusaha dan beri sepenuh komitmen dalam latihan agar barisan jurulatih dapat melihat kemampuan saya.

"Selebihnya saya serahkan kepada jurulatih buat penilaian dan jika diberi peluang saya akan cuba sehabis mungkin," katanya.

Untuk rekod, Haqimi antara pemain muda yang sering mendapat kepercayaan ketua jurulatih skuad senior Kim Pan-gon di mana dia sudah meledak satu gol di peringkat antarabangsa ketika saingan Piala AFF Disember tahun lalu.

Ditanya mengenai masa depannya bersama KL City, Haqimi akui ingin kekal dengan pasukan itu musim depan bagi mengutip lebih banyak pengalaman sebelum memikirkan tawaran lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 2:47 PM