SKUAD KL City gigih berlatih menjelang perlawanan dengan Al Seeb. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
SKUAD KL City gigih berlatih menjelang perlawanan dengan Al Seeb. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Hadiah kemenangan bernilai AS$1.5 juta atau RM6.95 juta menanti juara Piala AFC antara Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Al Seeb yang akan beraksi di final di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Sabtu ini.

Habuan itu cukup lumayan dan barisan pemain KL City bakal menikmati ganjaran itu sekiranya muncul pemenang nanti.

Perkara itu dinyatakan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad yang percaya anak buah Bojan Hodak mampu melakar sesuatu dan habuan itu mampu menaikkan semangat pemain.

"Kita faham pengajian (gaji pemain) kita bukan yang tertinggi, tapi kita memberi insentif berdasarkan pencapaian dan prestasi serta setiap kemenangan.

"Kita faham dan kita akan imbangi bonus setiap kemenangan pada setiap perlawanan. Kalau dulu Piala Malaysia pemain dapat bonus, sama dengan Piala AFC kalau mereka menang.

"Jumlah itu kita akan umumkan kemudian, yang penting pemain tunjukkan aksi terbaik di atas padang," katanya pada sidang media di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, hari ini.

Naib juara pula akan menerima AS$750,000 (RM3.47 juta).

Untuk rekod, Piala AFC pernah dimenangi kelab dari Malaysia menerusi pencapaian gemilang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 2015 lalu.

Skuad Harimau Selatan pada ketika itu membenam kelab Tajikistan, FC Istiklol dengan keputusan 1-0 yang berlangsung di Dushanbe, Tajikistan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 7:46 PM