BEKAS pengendali pasukan Kuala Lumpur (KL) pada 1999, Mat Zan Mat Aris. FOTO NSTP
BEKAS pengendali pasukan Kuala Lumpur (KL) pada 1999, Mat Zan Mat Aris. FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas pengendali pasukan Kuala Lumpur (KL) pada 1999, Mat Zan Mat Aris percaya skuad yang dijenamakan semula kepada KL City FC (KL City) mampu melakukan kejutan pada final Piala FA Sabtu ini, sekali gus mengulangi pencapaiannya membimbing KL memenangi trofi itu pada 1999 lalu.

Jelas jurulatih berpengalaman itu, biarpun lawan yang bakal ditemui iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dianggap pilihan utama memenangi aksi kemuncak itu, namun Mat Zan percaya kejutan boleh berlaku di Stadium Sultan Ibrahim nanti.

Katanya, kepintaran pengendali KL City, Bojan Hodak mungkin bakal jadi penentu kepada perjalanan skuad The Citys Boys dalam aksi final itu nanti, seperti mana yang sudah dibuktikan ketika menewaskan JDT di final Piala Malaysia 2021 lalu.

"Hodak sudah lama dengan pasukan KL City dan dia memiliki pengalaman luas dalam kancah Liga Malaysia. Dia telah membantu pasukan mara ke final Piala Malaysia dengan menewaskan JDT.

"Saya percaya situasi tersebut akan memberikan kekuatan tambahan buat KL City. Malah, Hodak jugak cukup arif dengan taktikal selain kualiti pasukan tidak kira lokal atau import juga agak seimbang," katanya.

Sejak dikendalikan oleh Hodak, KL City berjaya mara ke pentas final kejohanan bola sepak buat kali ketiga berturut-turut selepas Piala Malaysia edisi 2021 dan Piala AFC tahun lalu.

Skuad Warga Kota memburu trofi keempat selepas menjuarai pada edisi 1993, 1994 dan 1999, manakala JDT pula gah bergelar juara bertahan musim lepas.

Mat Zan yang menjadi 'orang kuat' selaku ketua jurulatih ketika KL menang Piala FA pada 24 tahun lalu dengan menewaskan Terengganu berharap penyokong KL City dapat menggemakan suasana di gelanggang keramat JDT nanti.

"Meskipun baru-baru ini KL City tewas 1-6 kepada JDT dalam saingan Liga Super, ia tidak boleh dijadikan kayu pengukur. Saya pasti Hodak sudah ada strategi terbaik walaupun menentang JDT bukan tugas mudah.

"Saya harap penyokong KL dapat beri sorakan dan datang beramai-ramai ke stadium. Siapa sahaja yang diletakkan dalam kesebelasan utama perlu bermain sepenuh hati jika mahu melakar keputusan positif nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 2:21 PM