PEMAIN  Sri Pahang bersama penyokong mereka. FOTO Sri Pahang FC
PEMAIN Sri Pahang bersama penyokong mereka. FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Tempoh seminggu ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin pengendali Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh untuk membuat persiapan bagi menghadapi Terengganu FC (TFC) pada pusingan pertama Piala Malaysia.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, diundi bertemu TFC tidak mengganggu persediaan skuad Tok Gajah untuk menghadapi kempen piala berprestij berkenaan.

"Memang Terengganu berada pada prestasi terbaik apabila menamatkan saingan di kedudukan kedua dan antara pasukan yang kuat musim ini.

"Namun, saya percaya Sri Pahang mampu memberi tentangan selepas mula mempamerkan peningkatan prestasi pada dua perlawanan terakhir Liga Super.

"Pemain sudah mula mencapai tahap yang diinginkan dan prestasi itu diharap dapat dikekalkan apabila berdepan Terengganu nanti," katanya.

Mengikut jadual, pusingan pertama Piala Malaysia dijangka bermula pada 25 dan 26 Oktober ini.

Musim ini, Sri Pahang yang berdepan dengan masalah prestasi termasuk pertukaran jurulatih pada pertengahan musim, menamatkan kedudukan ketujuh dalam saingan Liga Super musim ini.

Dengan peningkatan corak permainan pada dua perlawanan terakhir termasuk menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-0, kelmarin, skuad Tok Gajah mampu menyerlah pada kempen Piala Malaysia 2022.

Namun, Sri Pahang perlu memperkemaskan jentera pertahanan yang kebiasaannya mudah melakukan kesilapan terutama di penghujung perlawanan.

Ketajaman jentera serangan skuad Tok Gajah yang semakin berbisa memberikan kelebihan apabila berdepan TFC nanti.

Justeru, sentuhan penyerang terbanyak Sri Pahang, Steven Rodriguez yang menjaring sembilan gol sudah pasti ditagih untuk merobek gawang skuad Penyu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 10:06 PM