NAMA Fandi memang ada dalam cadangan selaku ketua jurulatih baharu. FOTO OSMAN ADNAN
NAMA Fandi memang ada dalam cadangan selaku ketua jurulatih baharu. FOTO OSMAN ADNAN
Asrol Awang


Kuantan: Hanya nama Fandi Ahmad disebut-sebut akan menggantikan Christophe Gamel selaku ketua jurulatih Sri Pahang FC ketika ini.

Sumber dalaman pasukan memaklumkan skuad Tok Gajah itu sedang mengadakan perbincangan bersama jurulatih Singapura itu.

"Nama Fandi memang ada dalam cadangan selaku ketua jurulatih baharu berbanding seorang lagi jurulatih dari Singapura, V Sundramoorthy.

"Tetapi segala keputusan berhubung pelantikan ketua jurulatih baharu akan diketahui dalam tempoh terdekat.

"Apa yang boleh dimaklumkan ialah Dollah Salleh selaku pengurus pasukan musim ini akan memangku tugas yang ditinggalkan Gamel buat sementara.

"Tugas dan fokus Dollah ketika ini ialah untuk persediaan Sri Pahang berdepan Penang FC pada suku akhir Piala FA pada 23 Julai ini," kata sumber itu.

Berdasarkan rekod, Fandi pernah menyarung jersi Pahang pada 1991-1992 termasuk membantu skuad itu menjulang Piala Malaysia pada 1992.

Jika bersama Sri Pahang, pengalaman yang dimiliki bekas pemain Pahang berusia 60 tahun itu diharap mampu untuk meletakkan skuad itu pada prestasi terbaik.

Pada masa sama, Fandi pernah melatih Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim 2012-2013.

Dalam saingan Liga Super musim ini, selepas mengharungi 11 perlawanan, Sri Pahang terperosok di kedudukan kedua tercorot Liga Super dengan hanya mengutip lapan mata.

Dengan prestasi hambar yang dipersembahkan itu, atas persetujuan bersama, Gamel tidak meneruskan tugasnya pada baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Antara faktor yang mempengaruhi khidmat Gamel tidak diteruskan ialah keputusan tiga perlawanan terakhir menyaksikan skuad Tok Gajah tewas berturut-turut iaitu kepada Terengganu FC (TFC) 1-2, Negeri Sembilan (0-3) dan Sabah (1-2).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 4:55 PM