FADHLI turut harap sokongan padu penyokong Tok Gajah.
FADHLI turut harap sokongan padu penyokong Tok Gajah.
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC menyasarkan mata maksimum pada baki lima perlawanan Liga Super dalam usaha menamatkan saingan liga pada kedudukan terbaik musim ini.

Justeru, pemain pertahanan, Fadhli Shas berkata, fokus utama skuad Tok Gajah ialah untuk memberikan komitmen 100 peratus pada setiap perlawanan bermula berdepan Terengganu FC (TFC) pada 29 Oktober ini.

"Tiada yang mustahil kerana sepanjang tempoh rehat liga ini, kami lebih menekankan kepada semua aspek termasuk memperbaiki kelemahan dan mempertingkatkan prestasi.

"Diharapkan dengan komitmen dan prestasi terbaik, misi meraih mata maksimum pada lima baki perlawanan akan tercapai.

"Pada masa sama, kami mengharapkan sokongan padu daripada peminat Tok Gajah untuk memberikan suntikan semangat," katanya.

Berdasarkan jadual perlawanan, skuad kendalian Fandi Ahmad akan berdepan TFC pada 29 Oktober ini, diikuti PDRM (8 November), Penang FC (26 November), Johor Darul Ta'zim (3 Disember) dan Kuala Lumpur (KL) City FC (17 Disember).

Ketika ini, Sri Pahang yang bermain 21 perlawanan berada di kedudukan keempat Liga Super dengan mengutip 43 mata.

Baru-baru ini, Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) menyasar skuad Tok Gajah menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan tiga terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 9:40 PM