SHAMIE Iszuan akan memastikan dia berada pada prestasi terbaik. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
SHAMIE Iszuan akan memastikan dia berada pada prestasi terbaik. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC dijangka tidak berdepan masalah untuk mengutip tiga mata apabila berdepan Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.

Pemain skuad Tok Gajah, Nur Shamie Iszuan Amin, berkata tiada yang mustahil untuk mencatat kemenangan ke atas lawan.

"Biarpun Sri Pahang tidak beraksi dalam tempoh kira-kira sebulan, kami akan berusaha untuk menewaskan Terengganu.

"Berbekalkan kelebihan di halaman sendiri dan kemenangan 2-1 ke atas Terengganu pada pusingan pertama Liga Super, kemenangan akan menjadi milik Sri Pahang.

"Pada masa sama, kami menjalani latihan dengan penuh komitmen untuk memastikan berada pada prestasi terbaik," katanya.

Nur Shamie yang membantu Harimau Malaya muncul naib juara Pestabola Merdeka juga akan memastikan dia berada pada prestasi terbaik.

Katanya, dia sentiasa bersedia untuk diturunkan pada setiap perlawanan.

"Jika diberikan peluang oleh ketua jurulatih (Fandi Ahmad), aksi terbaik akan dipersembahkan untuk membantu Sri Pahang beroleh kemenangan.

"Pada masa sama, misi untuk meletakkan skuad Tok Gajah menamatkan saingan Liga Super musim ini pada kedudukan terbaik," katanya.

Ketika ini, Sri Pahang yang bermain 21 perlawanan berada di kedudukan keempat Liga Super dengan mengutip 43 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 3:37 PM