SANUSI tidak berdiam diri apabila turut membalas ‘nasihat’ Tunku Ismail. FOTO GHAZALI KORI
SANUSI tidak berdiam diri apabila turut membalas ‘nasihat’ Tunku Ismail. FOTO GHAZALI KORI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Saingan Liga Super sudah hampir melabuh tirainya namun 'pertelingkahan' membabitkan dua nama besar dalam arena bola sepak negara iaitu dilihat tiada sebarang tanda mereka mahu berdamai.

Hal ini kerana, baru-baru ini, pemilik kelab JDT Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta pemilik Kedah Darul Aman (KDA) FC Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar menasihati Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor supaya menghentikan sebarang provokasi membabitkan dua pasukan gergasi tanah air itu.

Menerusi ruang komen laman Instagram milik Mohd Daud, TMJ meminta pemilik KDA itu untuk menasihati Sanusi supaya memberhentikan perangai 'badut' yang sering dipamerkan beliau.

"Salam Tan Sri, saya pernah berjumpa dengan Tan Sri di SSI (Stadium Sultan Ibrahim). Tan Sri orang yang baik dan saya berdoa semoga Allah kurniakan kejayaan buat Tan Sri dan Kedah."

"Sudah tiba masanya untuk beliau jaga sikap dan bawa diri sebagai seorang Menteri Besar dan bukannya 'Badut'."

"Semoga Allah berkati Tan Sri. 'A leader will give birth to more leaders, a clown will give birth to more Clowns'," tulisnya.

Namun, Sanusi yang Menteri Besar Kedah tidak berdiam diri apabila turut membalas 'nasihat' Tunku Ismail itu dengan slogannya 'Panaih Takpa Jangan Koyak'.

"Bahasa terindah untuk perpaduan, untuk melayu Islam kita pula itu… Contoh teladan terbaik daripada seorang pemilik kelab bolasepak untuk pemujanya….Semua salah ada pada orang lain, dia semua betul," tulis Sanusi.

Terdahulu, Sanusi mempertikaikan jaringan dihasilkan oleh Bergson da Silva serta sepakan penalti yang diperoleh JDT pada aksi liga menemukan kedua-dua pasukan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Walaupun, terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain, JDT masih mampu mencatatkan kemenangan 3-1 untuk terus mengekalkan rekod tanpa kalah mereka pada musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 11:24 AM