TUNKU Ismail (kiri) meminta Sanusi menyebut nama individu didakwanya sebagai tokong. FOTO ARKIB NSTP
TUNKU Ismail (kiri) meminta Sanusi menyebut nama individu didakwanya sebagai tokong. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas berdiam diri sepanjang isu 'tokong' dibangkitkan beberapa hari lalu, akhirnya pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil bersuara dengan nada berang.

Jelas Tunku Ismail, beliau mahu Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Sanusi Md Nor mendedahkan siapakah 'tokong' yang dimaksudkan olehnya.

"Dia cakap pasal siapa? Sebut nama. Ceritakan segala-galanya. Ini cakap main sembuh (sembur) badut McDonald pun boleh," tulis Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Beliau berkata, Sanusi perlu menunjukkan bukti tentang kewujudan 'tokong' yang didakwa mengawal segala perjalanan Liga Malaysia hingga mewujudkan persaingan tidak adil dalam kancah liga tempatan.

"Cerita semua, keluarkan bukti dan fakta," katanya di laman Twitter miliknya.

TULISAN TMJ di Twitternya.
TULISAN TMJ di Twitternya.

Ujarnya, tindak tanduk Menteri Besar Kedah itu sebenarnya permainan 'orang politik' yang mahu menutup kelemahan sendiri.

"Setiap kali tenggelam terus buat cerita sensasi nak naikkan rating. Typical Politician."

Sebelum ini, Sanusi menegaskan Liga M perlu ditadbir dengan adil tanpa perlu campur tangan pihak tertentu yang dilabelnya umpama 'tokong'.

Sanusi turut membuat pendedahan mengenai individu berkenaan turut memberi hadiah bonus kepada pasukan lain sekiranya mereka berjaya menewaskan Kedah Darul Aman (KDA).

Walaupun tidak menamakan siapakah individu itu, ia seolah-olah merujuk kepada pasukan yang berpangkalan di selatan tanah air dan penamatan perjanjian pinjaman penyerang JDT, Syafiq Ahmad menguatkan lagi dakwaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 2:01 PM