PENYERANG Sri Pahang FC, Mahmoud Za'tara. -FOTO Ihsan Sri Pahang FC
PENYERANG Sri Pahang FC, Mahmoud Za'tara. -FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Dua gol Mahmoud Za'tara ketika membantu Sri Pahang FC menewaskan Skuad Projek FAM-MSN 3-0 pada pusingan kedua Piala FA kelmarin, melegakan pengendalinya, Christophe Gamel.

Jurulatih berusia 50 tahun itu berkata, sentuhan penyudah yang disempurnakan penyerang import dari Jordan itu diyakini mampu menyuntik semangat Za'tara untuk beraksi lebih cemerlang selepas ini.

"Saya percaya Za'tara akan dapat bermain dengan lebih baik dibantu rakan sepasukan untuk membantu Sri Pahang mencatat kemenangan.

"Dua gol itu diharap meningkatkan semangat untuk menjaringkan gol pada perlawanan akan datang," kata jurulatih dari Perancis itu.

Baru-baru ini, rata-rata peminat skuad Tok Gajah kecewa dengan persembahan pemain berusia 30 tahun itu yang gagal menyerlah dan membantu Sri Pahang pada prestasi terbaik.

Selepas mengharungi tujuh perlawanan Liga Super, Za'tara hanya menjaringkan satu gol ketika Sri Pahang tewas 1-2 kepada Melaka United. Namun, jaringan yang dihasilkan Za'tara itu diperolehi menerusi sepakan penalti.

Tidak hairanlah, peminat Sri Pahang mahu Za'tara mempamerkan prestasi terbaik dalam usaha membantu Sri Pahang berada pada kedudukan terbaik.

Namun, jika gagal menyerlah, tidak mustahil khidmat penyerang import itu mungkin berakhir sebaik jentera perpindahan pemain dibuka penghujung bulan ini. Ketika ini, Sri Pahang berada di kedudukan kelapan dengan mengutip tujuh mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 1:39 PM