PENGENDALI Sri Pahang FC, Christophe Gamel. -FOTO Asrol Awang
PENGENDALI Sri Pahang FC, Christophe Gamel. -FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Christophe Gamel memuji persembahan pemainnya yang mengesahkan tempat ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan skuad Projek FAM-MSN 3-0 pada aksi pusingan kedua, malam tadi. Jurulatih berusia 50 tahun itu berkata, segalanya tampak lebih baik sepanjang tempoh 90 minit perlawanan apabila berjaya menjaringkan gol pada setiap babak.

"Pada perlawanan ini, Sri Pahang menguasai perlawanan dan kemenangan ini melayakkan kami ke suku akhir Piala FA.

"Saya harap prestasi pemain dapat dipertingkatkan lagi apabila beraksi pada saingan suku akhir nanti.

"Pujian juga diberikan kepada semua pemain terutama barisan muda yang memberikan komitmen tinggi kepada pasukan," katanya.

Pada perlawanan itu, tiga gol Sri Pahang, masing-masing dua dijaringkan oleh penyerang import, Mahmoud Za'tara pada minit kelima dan ke-27 dan satu olehMuhammad Sharul Nizam Mohd Nadzir pada minit ke-89. Sementara itu, pengendali skuad muda negara, Hassan Sazali Mohd Waras akur dengan keputusan yang tidak menyebelahi pasukan itu.

Katanya, dibarisi sebahagian besar pemain berumur antara 17 dan 19 tahun berbanding Sri Pahang menyebabkan skuad itu tidak dapat meneruskan kemaraan lebih jauh dalam saingan piala berprestij itu.

"Kurang pengalaman antara perbezaan yang dipersembahkan skuad Projek FAM-MSN dan Sri Pahang.

"Namun, saya tetap gembira kerana skuad ini layak berada dalam kedudukan 16 pasukan terbaik dalam saingan piala FA musim ini.

"Pengalaman beraksi dalam saingan Piala FA diharap membantu untuk bermain dengan lebih baik dalam saingan Liga Perdana musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 11:47 AM