MUHAMMAD Yunus Zakariah.
MUHAMMAD Yunus Zakariah.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Perak FC mahupun bekas pemilik pasukan, Impact Media & Communications (IMC) tidak menerima apa-apa notis saman daripada JR Resources yang dilaporkan mahu mengambil tindakan mahkamah bagi memulihkan imej susulan kegagalan membeli skuad Bos Gaurus.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah, malah beliau mengakui pihaknya tidak pernah menandatangani apa-apa dokumen persetujuan awal dengan JR Resources untuk menjual Perak FC kepada syarikat itu.

"Setakat yang saya tahu, kami tak terima apa-apa pun notis saman daripada pihak mereka (JR Resources). Lagipun tidak kita tidak pernah menandatangani apa-apa persetujuan dengan mereka.

"Memang kita akui mereka antara pihak terawal yang menyatakan minat untuk mengambil Perak FC. Tetapi mereka gagal mengemukakan dokumen seperti 'proof of funds', berjumpa MFL (Liga Bolasepak Malaysia) secara terus yang akhirnya MFL minta mereka kembali kepada Perak FC dan macam-macam lagi.

"Mereka pun tahu kita juga berunding dengan pihak lain yang berminat. Jadi tak timbul isu sebenarnya, dan saya pun malas nak fikirkan khabar angin ini," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, dilaporkan JR Resources bakal mengemukakan saman kepada IMC bagi memulihkan maruah tercalar kerana gagal menemui noktah penjualan Perak FC.

Menurut sumber, persetujuan bersama sudah dicapai antara kedua-dua pihak namun IMC membuat 'pusingan-U' apabila menjualnya kepada pihak lain.

Untuk rekod, Perak FC sudah pun 'diikat' syarikat XOX Bhd selepas kedua-dua pihak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada 29 April lalu.

Sementara itu, ditanya bilakah pengesahan rasmi pengambilalihan Perak FC oleh XOX Bhd, Yunus mengesahkan Jumaat depan akan diadakan satu majlis penyerahan kelab kepada pemilik baharu.

"Misi saya bersama pengurusan baharu (XOX Bhd) sekarang adalah untuk pastikan kebajikan pemain dan jurulatih terus dibela dengan mendapat gaji sehingga hujung musim ini.

"Bukan saja gaji pemain di atas padang, kita juga ada tanggungjawab ke atas staf di belakang tabir yang turut mainkan peranan penting ke atas pasukan dan saya mahu pastikan gaji mereka juga dijaga.

"Mengenai hala tuju dan perancangan kelab selepas ini, kita akan adakan perbincangan lanjut dan mungkin akan ada sedikit rombakan. Apa-apa ia terserah kepada pemilik kelab nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 6:27 PM