PENGENDALI Perak FC, Yusri Che Lah. -FOTO NSTP
PENGENDALI Perak FC, Yusri Che Lah. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Berbaki 10 hari menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri pada 3 Mei ini, pemain dan pegawai Perak FC berharap 'penderitaan' tunggakan gaji semalam berbulan-bulan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Ia bagi membolehkan anggota pasukan skuad The Bos Gaurus itu membuat persediaan dan menyambut satu Syawal dengan penuh kegembiraan di pagi Raya.

Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah berkata, kemelut yang menghantui pasukannya sejak awal musim ini diharapkan selesai dengan segera apabila rundingan pertukaran pemilik kelab kini di fasa terakhir, sekaligus seolah ada sinar di hujung terowong terhadap isu tunggakan gaji.

"Sambutan Hari Raya Aidilfitri kian dekat namun saya suasana sangat sedih sedang dirasai oleh kami semua di Perak FC.

"Harap akan ada jalan penyelesaian terhadap pertukaran pemilikan pasukan ini selepas peluang kedua diberikan oleh MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dan pemain boleh mendapat sesuatu sebelum Hari Raya dari pengurusan baharu.

"Saya juga menyeru kepada pengurusan Perak FC jangan ambil saat akhir untuk melangsaikan semua proses," katanya.

Terdahulu, MFL memberi tempoh lanjutan buat pengurusan kelab Perak FC menyelesaikan rundingan pertukaran pemilikan sehingga 29 April ini untuk mengelak daripada disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Tindakan penyingkiran itu adalah jalan terakhir selepas kegagalan pihak pengurusan menyelesaikan itu tunggakan gaji membabitkan pemain musim lalu dan musim ini dengan jumlah hampir RM11 juta.

Ketika ini, Perak FC dimiliki Impact Media and Communication (IMC) dan difahamkan pihak yang berminat untuk membeli kelab itu adalah JR Resources and Services Sdn selain juga dikhabarkan sebuah syarikat telekomunikasi turut berminat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 12:41 PM