MUHAMMAD Yunus Zakariah. FOTO ARKIB NSTP
MUHAMMAD Yunus Zakariah. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Saya merayu jika ada pihak serius nak selamatkan Perak FC, kami memang betul-betul nak lepaskan.

"Jika ada yang nak beli saham minoriti pun tak apa, kerana ia akan memberi Perak FC peluang untuk 'membeli' masa bagi mencari penyelesaian menyeluruh. Bantulah Perak FC."

Demikian rintihan dan bantuan diharapkan Ketua Pegawai Eksekutif Impact Media & Communication Sdn Bhd (IMC), Muhammad Yunus Zakariah buat mana-mana pihak atau syarikat korporat tidak kira dalam atau luar negara yang berminat membeli pasukan Perak FC.

Menurutnya, pemilik pasukan iaitu IMC masih berharap dan terus berusaha mencari jalan bagi menyelamatkan skuad itu yang memerlukan sekurang-kurangnya RM11 juta untuk menyelesaikan liabiliti kelab dan RM4 juta lagi bagi meneruskan kelangsungan pasukan sehingga akhir musim ini.

"Walaupun ada beberapa pihak tampil menyatakan minat, ia terhalang disebabkan keperluan untuk membuat 'due diligence' yang mengambil masa tiga ke empat minggu.

"Ada penyokong kata kami tak nak terima atau sengaja melengah-lengahkan proses. Semua itu tidak benar sama sekali. Hakikatnya belum ada yang benar-benar sanggup mengambilalih Perak FC tanpa membuat 'due'diligence' dan jaminan supaya isu tunggakan gaji dapat diselesaikan sebaik sahaja pengambilalihan dimuktamadkan.

"Kalau kami nak lari, boleh saja kami serahkan kepada mereka yang berminat begitu saja dan tak payah pening-pening kepala. Tetapi kami nak serahkan kepada pembeli yang bukan sahaja berminat, tapi boleh memberi jaminan akan menyelesaikan semua tunggakan yang ada," katanya.

Sebelum ini, syarikat JR Resources dilihat paling hampir untuk menjadi 'bos baru' Perak FC, namun terdapat beberapa perkara di dalam deraf perjanjian diterima semalam yang perlu dirujuk.

"Selepas kami terima deraf perjanjian pagi semalam, peguam kami mencadangkan beberapa rujukan dan sudah menghantar semula deraf tersebut kepada pihak JR Resources di sebelah petangnya.

"Sehingga sekarang masih tiada apa-apa maklum balas. Kami masih mengharapkan maklum balas positif.

"Bagaimanapun, kami kena ada pelan alternatif termasuk jika ada pihak yang nak membeli saham minoriti Perak FC, kami alu-alukan," katanya.

Untuk rekod, IMC mula mengambil alih Perak FC pada 24 Disember tahun lalu dengan misi utama menyelesaikan tunggakan gaji ditinggalkan pengurusan terdahulu.

Bagaimanapun, secara logiknya niat IMC untuk memulihkan isu hutang pasukan dengan mencari penaja atau pelabur memerlukan tempoh masa lebih panjang ketika Perak FC kini hanya memiliki talian hayat sehingga hujung April ini bagi menyelesaikan tunggakan itu.

Jika isu berkenaan gagal diselesaikan, Perak FC tampaknya bakal berkubur apabila disingkirkan penyertaan dalam saingan Liga Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 7:07 PM