PENYERANG Liverpool, Sadio Mane menjaringkan gol kedua pasukannya. FOTO AFP
PENYERANG Liverpool, Sadio Mane menjaringkan gol kedua pasukannya. FOTO AFP
Reuters

Liverpool: Jurulatih Liverpool, Juergen Klopp menggesa anak buahnya terus berwaspada selepas menang 2-0 ke atas Villarreal pada perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah, hari ini, sambil menegaskan keputusan itu boleh memberi gambaran salah.

Liverpool menguasai sejak awal perlawanan di Anfield sebelum dua gol pada babak kedua meletakkan mereka sebelah kaki ke final ketiga dalam tempoh lima musim.

Bagaimanapun, Klopp yang memenangi semua empat aksi separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah di tempat sendiri sebagai pengurus Borussia Dortmund dan Liverpool - sambil menyaksikan pasukannya menjaringkan 15 gol dan bolos tiga kali - menegaskan tugas mereka belum selesai.

"Ini baru separuh masa, tidak lebih dan tidak kurang," kata Klopp. "Ada lagi tugas penuh perlu disempurnakan, tiada lagi yang berlaku."

"Contoh paling baik adalah anda bermain satu perlawanan dan mendahului 2-0 di separuh masa pertama. Jadi, anda perlu berwaspada sepenuhnya untuk babak kedua dan berada dalam mood 100 peratus."

"Mereka mungkin boleh bermain di separuh masa kedua sama seperti aksi babak pertama dan jika mereka bermain begitu, semua kelebihan kami akan hilang.

"Kami bertandang ke sana untuk perlawanan kedua dalam suasana mencabar, sudah pasti berbeza berbanding malam ini. Pemain mereka berjuang untuk hidup, untuk jurulatih mereka."

Sadio Mane yang menjaringkan gol kedua 133 saat selepas gol sendiri lawan yang menyaksikan Liverpool mendahului pada babak kedua, meneruskan prestasi cemerlang apabila menjaringkan enam gol dalam tujuh perlawanan terakhir semua kejohanan.

Ia adalah jaringan ke-14 Mane di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Eropah dan menyamai jaringan terbanyak pemain Afrika bersama Didier Drogba.

Sejak kempen pertamanya pada 2017-18, hanya Karim Benzema yang menjaringkan 16 gol di peirngkat kalah mati mengatasi Mane.

"Dia melalui musim yang hebat dan dia memang pemain hebat," kata Klopp. "Mane adalah pemain kelas dunia dan sekali lagi bermain dengan baik malam ini."

Selepas perlawanan penuh drama pada satu lagi aksi separuh akhir yang menyaksikan Manchester City menang 4-3 ke atas Real Madrid di Etihad, semalam, perlawanan ini sukar memberikan hiburan.

Tetapi, Liverpool membuatkan kedudukan mereka selesa menjelang perlawanan timbal balik di Sepanyol, Selasa depan dan yakin boleh menyempurnakan tugasan ini.

Villarreal bertahan dengan ramai pemain pada babak pertama untuk mengecewakan juara Eeropah enam kali itu, sehinggalah hantaran lintang Jordan Henderson tertampan ke gawang sendiri oleh Pervis Estupinan pada babak kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 7:50 AM