SALAH (kanan) melakukan percubaan ke gawang Red Star. -Foto AFP
SALAH (kanan) melakukan percubaan ke gawang Red Star. -Foto AFP
Reuters

LIVERPOOL, England: Mohamed Salah menjaringkan dua gol ketika Liverpool menewaskan Red Star Belgrade 4-0 dalam saingan Liga Juara-Juara Kumpulan C di Anfield awal pagi tadi seterusnya menghidupkan kembali peluang mara ke kelompok 16 terakhir.

Selepas kekalahan kepada Napoli dalam perlawanan sebelum ini, skuad kendalian Juergen Klopp bangkit dengan trio penyerang mereka sekali lagi memainkan peranan utama ketika Salah menjaringkan 50 gol buat kelab itu manakala Roberto Firmino dan Sadio Mane juga menemui sasaran.

Pemain Mesir itu tampak sudah menemui sentuhan pemusnahnya tahun lalu ketika dia mencipta 50 jaringan lebih pantas berbanding mana-mana pemain Liverpool dalam sejarah, melakukannya dalam 65 perlawanan -12 lebih pantas berbanding pemegang rekod sebelum ini, Albert Stubbins.

Red Star, kalah 6-1 di tangan Paris St Germain dalam perlawanan terakhir mereka dan tanpa sokongan ketika kelab itu melalui penggantungan kedua terhadap penyokong mereka, hanya sedikit menghadirkan ancaman.

Liverpool pula menunjukkan kualiti yang cukup baik untuk mengutip tiga mata dan ketika PSG dan Napoli seri 2-2, mereka ketika ini berkedudukan teratas kumpulan dengan enam mata, satu melebihi Napoli dan dua di depan juara Perancis itu.

"Apabila perlawanan kembali tenang, kami bermain bola sepak sebenar dan mencipta peluang, ia perlawanan yang amat bagus dan saya gembira," kata Klopp. "Ia bola sepak yang bagus dan kami berhak menang."

Salah pula sangat gembira dengan dua jaringannya itu. “Sungguh hebat, saya gembira dapat menjaringkan gol ke-50,” katanya.

"Kami tahu bagaimana beraksi sesama sendiri dan tahu kualiti kami,” katanya yang membentuk gandingan berbisa bersama Firmino dan Mane.

Firmino menjaringkan gol pertama Liverpool yang tewas di tangan Napoli dalam perlawanan sebelum ini, pada minit ke-20 dengan penyudah baik selepas hantaran baik Andy Robertson menemui pemain Brazil itu dalam kotak penalti.

Pemain antarabangsa Switzerland, Xherdan Shaqiri, tampak sibuk dan cukup kreatif memberi umpanan buat Salah seterusnya jaringan kedua Liverpool sebelum babak pertama berakhir dengan penyerang Mesir itu meledak dari luar kotak penalti.

Red Star hanya sedikit mengancam dan Liverpool melebarkan kelebihan enam minit selepas rehat apabila Filip Stojkovic menghalang cubaan Mane dengan tangan dan Salah menyudahkan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 7:50 AM