MANE ledak dua gol bantu Liverpool atas City. -FOTO EPA
MANE ledak dua gol bantu Liverpool atas City. -FOTO EPA
AFP

London: Sadio Mane berikrar untuk membantu Liverpool merangkul empat kejuaraan selepas dua gol jaringannya membantu kemenangan 3-2 mengatasi Manchester City di separuh akhir Piala FA.

Liverpool kini berusaha untuk menjadi kelab Inggeris pertama menjulang empat trofi utama dalam satu musim.

Skuad pimpinan Jurgen Klopp sebelum ini sudahpun merangkul Piala Liga dan kini mereka mara ke final Piala FA yang pertama sejak 2012 hasil dua jaringan Mane di Wembley.

Ibrahima Konte menanduk masuk gol pertama Liverpool sebelum Mane menghukum kesalahan penjaga gol lawan Zack Steffen.

Penyerang Senegal itu sekali lagi meledak sebelum tamat babak pertama dan gol pada separuh masa kedua daripada Jack Grealish dan Bernardo Silva tidak cukup untuk membantu City.

Liverpool kini hanya satu mata di belakang pendahulu Liga Perdana, City dan masih mempunyai baki tujuh perlawanan dalam tangan akan berdepan Villarreal dalam aksi separuh akhir Liga Juara-Juara dan Mane sedar mereka kini di ambang kejayaan dalam dunia bola sepak.

"Kita akan lihat. Kami akan cuba buat yang terbaik. Ia adalah impian yang pasti dan kami akan memperjuangkannya," kata Mane.

Penyerang Senegal itu mengakui ia adalah dorongan besar selepas menewaskan pencabar gelaran City yang juga akan beraksi di separuh akhir Liga Juara-Juara seterusnya memberi tekanan hebat kepada anak buat Pep Guardiola.

"Ia satu yang istimewa. Ia satu kemenangan besar menang di separuh akhir dan kami sangat gembira mara ke final.

"Kami bermula dengan baik, kami beri mereka tekanan yang tinggi dan penjaga gol melakukan kesalahan. Saya sangat gembira dapat menjaringkan dua gol tapi prestasi pasukan sangat hebat."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 6:59 AM