PEMAIN City meraikan kejayaan mengalahkan Leeds 4-0. FOTO EPA
PEMAIN City meraikan kejayaan mengalahkan Leeds 4-0. FOTO EPA
Reuters

Leeds: Dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) terus bercakaran sesama sendiri apabila Manchester City dan Liverpool meraih kemenangan penting dalam usaha untuk memburu kejuaraan liga, manakala Norwich City sah tersingkir apabila kalah 0-2 kepada Aston Villa.

Sementara itu, satu lagi pasukan di bahagian bawah liga, Burnley meneruskan kebangkitan di bawah bos sementara, Mike Jackson apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas Watford membolehkan mereka memiliki kelebihan lima mata di atas zon penyingkiran.

Tumpuan terarah di St James' Park, kurang daripada 72 jam selepas kemenangan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Liverpool ke atas Villarreal, di mana kemenangan ke atas Newcastle United akan meletakkan pasukan Jurgen Klopp di puncak.

Klopp membuat perubahan untuk menyegarkan pasukannya, dan salah seorang pemain yang disenaraikan, Naby Keita, sekali gus muncul sebagai penjaring gol kemenangan bagi membolehkan Liverpool mengatasi City buat sementara waktu.

Kemenangan itu meneruskan prestasi terbaik yang telah mengheret Liverpool kembali ke perebutan kejuaraan.

Anak buah Klopp mengutip 40 mata daripada 42 perlawanan terakhir yang ditawarkan dan hanya kehilangan mata ketika berdepan City.

Newcastle, yang mencari kemenangan liga kelima berturut-turut mereka, tidak pernah mengalah, tetapi gagal menembusi barisan pertahanan Liverpool yang sukar ditembusi.

"Ia adalah kemenangan dalam keadaan yang paling sukar. Kami berdepan sebuah pasukan yang sedang dibentuk, penyokong mereka menunggu lama untuk kejayaan yang sewajarnya.

"Kami datang ke sini dengan melakukan lima perubahan dan membina cukup banyak persediaan baharu adalah sangat sukar, jadi prestasinya benar-benar luar biasa," kata Klopp.

Bos City, Pep Guardiola juga membuat banyak perubahan kepada pasukannya dengan pertembungan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara dengan Real Madrid bermain dalam fikirannya, menyebabkan pelawat kelihatan sedikit berputus asa sejak awal.

Bagaimanapun, mereka tidak lama kemudian menemui jaringan dengan pemain tengah Sepanyol Rodri menanduk masuk pada minit ke-13, sebelum satu lagi gol dari sepakan sudut, kali ini disempurnakan Nathan Ake pada awal separuh masa kedua.

Gol selanjutnya disumbangkan Gabriel Jesus dan pemain gantian Fernandinho mengembalikan mereka ke tempat teratas dengan 83 mata daripada 34 perlawanan, satu mata di depan Liverpool.

"Kami tahu datang ke sini dengan cara mereka bermain, kami akan banyak menderita pada separuh masa pertama.

"Tetapi pada akhirnya kami mempunyai kawalan dan boleh menjaringkan lebih banyak gol. Keputusan yang luar biasa untuk kami," kata Guardiola.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 9:19 AM