PAN-gon (dua kanan) bergambar bersama Farizal (dua kiri). FOTO FAM
PAN-gon (dua kanan) bergambar bersama Farizal (dua kiri). FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kecederaan yang dialami penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias jelas menimbulkan kebimbangan ramai pihak termasuklah barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya.

Nasib malang yang menimpa Farizal itu turut mendapat perhatian ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon apabila beliau hadir ke rumah pemain berkenaan untuk bertanyakan khabar.

Turut sama mengiringi Pan-gon adalah penolong jurulatih, E Elavarasan dan jurulatih penjaga gol Cho Junho.

Mereka hadir ke Johor bagi menyaksikan perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022, Johor Darul Ta'zim (JDT) bertemu Guangzhou FC di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi dan mengambil kesempatan itu untuk turut bertemu sendiri dengan Farizal bagi melihat keadaan terkini pemain itu.

"Saya berharap Farizal akan cepat sembuh dan dapat kembali turun beraksi seperti biasa bersama pasukan Johor Darul Ta'zim dan seterusnya bersama skuad Harimau Malaya pada perlawanan yang akan datang," kata Pan-gon.

Sebelum ini, Farizal mengalami kecederaan di kepala selepas bertembung dengan pemain pertahanan, Shane Lowry ketika mahu menghalang gerakan serangan yang dilakukan Terengganu dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, 10 April lalu.

Akibat pertembungan itu, Farizal tidak sedarkan diri dan terus dihantar ke hospital berdekatan bagi membolehkan penjaga gol itu mendapatkan rawatan.

Dalam aksi itu, JDT berjaya mengekalkan rekod bersih dalam empat aksi Liga Super setakat ini apabila menewaskan Terengganu FC yang menyaksikan Bergson meledak kedua-dua gol itu, sementara Kpah Sherman meraih gol saguhati buat pelawat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 2:10 PM