AKSI Arif Aiman ketika bertemu Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. FOTO ASWADI ALIAS
AKSI Arif Aiman ketika bertemu Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. FOTO ASWADI ALIAS
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Persembahan bertenaga disulam dengan corak permainan menarik dipersembahkan barisan pemain skuad Harimau Malaya membolehkan mereka menewaskan Krygyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Ketinggalan 1-3, anak buah Kim Pan-gon mempamerkan bangkit yang begitu membanggakan untuk menjinakan lawan membuka tirai saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, semangat melawan tinggi yang ada dalam diri setiap pemain menjadi senjata utama membolehkan kemenangan dapat diraih walaupun tidak banyak harapan disandarkan.

Menurutnya, gandingan kesebelasan pemain di posisi serangan, tengah dan pertahanan termasuk penjaga gol dilihat begitu menjadi walaupun pada suatu ketika ketinggalan dengan dua gol.

"Saya memuji aksi dipamerkan penyerang muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman yang dianggap menjadi pencetus setiap jaringan skuad Harimau Malaya, umpanan dia (Arif) memberi peluang kepada jentera serangan menghasilkan gol.

"Dia (Arif) seorang pemain bijak serta memiliki idea yang bernas dalam mencetuskan peluang menghasilkan gol dicari. Saya tertarik melihat corak permainan dipamerkan sepanjang 90 minit permainan," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau menambah, paling menarik dapat dilihat gerakan yang menghasilkan gol kemenangan skuad Harimau Malaya, selepas menewaskan pertahanan lawan Arif menolak bola kepada Faisal Halim yang mudah menewaskan penjaga gol Kyrgyzstan.

Jamal Nasir berkata, lebih ramai lagi pemain seperti dia (Arif) perlu dicarikan dalam usaha memastikan skuad Harimau Malaya dapat terus memberi saingan dipentas antarabangsa. Arif memiliki ciri pemain serangan yang berkualiti tinggi, selain menghasilkan gol dia juga mampu memecah benteng pertahanan lawan.

"Sumbangan pemain lain tidak saya nafikan, secara keseluruhan pasukan Harimau Malaya kini dilihat semakin mantap dibawah kendalian Pan-gon yang memilik pengalaman luas diperingkat antarabangsa.

"Dia (Pan-gon) antara jurulatih yang terbaik pernah membimbing skuad Harimau Malaya, dia tidak terlalu meninggi diri apabila pasukan mencatat kemenangan sebaliknya meletakan kemenangan hasil usaha setiap pemain.

"Saya berpendapat memang wajar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus menggunakan khidmat jurulatih kelahiran Korea Selatan itu untuk membimbing skuad Harimau Malaya yang kini semakin menyerlah," katanya yang berbangga dengan aksi dan pencapaian pasukan negara semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 3:37 PM