AKSI Sumareh ketika menentang Bahrain pada Jun tahun lalu.
AKSI Sumareh ketika menentang Bahrain pada Jun tahun lalu.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Selepas lebih setahun menyepi akhirnya penyokong bola sepak tempatan dapat menyaksikan pemain naturalisasi negara Mohamadou Sumareh kembali beraksi pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan 16 November ini.

Berdasarkan senarai nama pemaindikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyaksikan Sumareh antara lima tonggak baharu yang dipanggil semula Pan-gon untuk memperkuatkan pasukan.

Malah, Pan-gon juga mengikuti saranan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila memanggil tonggak Harimau Selatan Afiq Fazail untuk membantu pasukan kebangsaan meraih keputusan positif kelak.

"Lima pemain baharu yang kembali tersenarai kali ini ialah penjaga gol Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, tonggak pertahanan Shahrul Saad dan Syahmi Safari selain pemain tengah Afiq serta Sumareh," katanya, menerusi kenyataan sebentar tadi.

Selain itu, berdasarkan senarai pemain beraksi pada kejohanan Pestabola Merdeka menyaksikan Pan-gon menggugurkan lima pemain iaitu Sergio Aguero, Nur Shamie Iszuan Amin, Mohd Suhaimi Husin, Quentin Cheng dan Azam Azih.

Mengikut rekod, kali terakhir Sumareh disenaraikan dalam skuad kebangsaan adalah pada September tahun lalu bagi mengharungi Piala Raja Thailand di Chiang Mai, Thailand.

Afiq yang sering membarisi kesebelasan utama JDT pula hanya disenaraikan Pan-gon pada perlawanan persahabatan menentang Kemboja dan Maldives pada Disember tahun lalu sebelum dia digugurkan daripada skuad kebangsaan.

Pasukan kebangsaan yang baharu saja mengharungi perlawanan Pestabola Merdeka bulan lalu akan menjalani latihan pusat bermula Jumaat ini.

Latihan pusat terbabit sebagai persediaan bagi mengharungi perlawanan pertama dan kedua Kumpulan D, pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan (16 November) dan Taiwan (21 November).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 12:06 PM