SYIHAN kini berada pada prestasi terbaik bersama JDT. FOTO FAM
SYIHAN kini berada pada prestasi terbaik bersama JDT. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penjaga gol kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed bersedia untuk terus menjadi benteng terakhir skuad Harimau Malaya pada dua aksi persahabatan antarabangsa di Kuala Terengganu, pertengahan bulan ini.

Syihan, 27, kini jelas berada dalam kondisi terbaik di mana selepas 13 aksi Liga Super bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), dia hanya dibolosi sekali sahaja sepanjang pusingan pertama liga berlangsung.

Katanya, jika diberi peluang oleh pengendali negara, Kim Pan-gon, dia akan beri aksi sebaiknya untuk skuad Harimau Malaya nanti.

"InshaAllah jika saya terpilih ke skuad kebangsaan, saya akan berikan yang terbaik," katanya.

Pasukan negara dijadual berdepan dua pasukan iaitu Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 14 dan 20 Jun ini.

Dua aksi itu adalah sebahagian daripada persiapan skuad kendalian Pan-gon yang bakal beraksi di Piala Asia di Qatar pada Januari depan.

Mengulas lanjut tentang aksi persahabatan itu, Syihan akui tidak mengetahui mengenai kekuatan dua lawan Malaysia itu nanti.

Menurutnya, apa yang penting pemain negara perlu sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi perlawanan itu.

"Meskipun kita tidak mengetahui banyak tentang pasukan lawan kali ini, tetapi sebagai pemain siapa pun kami berjumpa kami kena hadapi dan bersedia dari sudut mental dan fizikal. Jika ada rezeki kita akan berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 3:19 PM