VICTOR Osimhen kini beraksi bersama Napoli. -FOTO AFP
VICTOR Osimhen kini beraksi bersama Napoli. -FOTO AFP
Agensi

London: Aksi Cristiano Ronaldo boleh dikurangkan secara mendadak di Old Trafford sekiranya Manchester United berjaya menyambar Victor Osimhen.

Pemain berusia 22 tahun itu mempamerkan aksi mengagumkan bersama Napoli musim ini dengan meledakkan 11 gol dalam 22 penampilan walaupun tidak dapat beraksi selama dua bulan kerana kecederaan tulang pipi.

Sejak kembali bersama pasukan Januari lalu, pemain Nigeria itu menjaringkan dua gol dari enam penampilan dan kini dilaporkan dalam radar Ralf Rangnick.

Menurut laporan media, pemain berusia 22 tahun itu menjadi sasaran utama United untuk menggantikan Cristiano Ronaldo musim panas ini namun Napoli dikatakan mahukan sekurang-kurangnya £84 juta (RM472.7 juta) untuk pemain muda itu.

Ronaldo kembali ke Old Trafford musim panas lalu dan walaupun menunjukkan prestasi memberangsangkan, prestasinya mula merudum apabila hanya menjaringkan satu gol dari 10 perlawanan terakhirnya.

Bintang Portugal itu mempunyai kontrak sehingga 2023 dan gaji £480 ribu (RM2.7 juta) seminggu menjadikan dia pemain Liga Perdana yang menerima gaji terbanyak.

Dia bagaimanapun berusia 37 tahun dan 15 tahun lebih tua berbanding Osimhen jadi ia dilihat alasan yang mudah mengapa Rangnick berminat mendapatkan khidmat pemain Nigeria itu.

Walaupun Ronaldo mengalami kemerosotan prestasi, dia kekal sebagai penjaring terbanyak di United musim ini dengan 15 gol.

Bruno Fernandes di tempat kedua dengan sembilan manakala Marcus Rashford dan Jadon Sancho masing-masing lima dan empat gol.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 11:16 AM