RONALDO sedia tamatkan kontrak lebih awal.
RONALDO sedia tamatkan kontrak lebih awal.
Agensi

London: Cristiano Ronaldo sedia meninggalkan Manchester United jika pengurus baharu kelab itu tidak sesuai dengan dirinya.

Pemain berusia 36 tahun itu kembali ke Old Trafford lima bulan lalu dan menerima sambutan meriah daripada penyokong.

Namun Ronaldo yang menjaringkan 14 gol dalam 21 perlawanan musim ini di sebalik prestasi Red Devils tidak menentu sedia mengucapkan selamat tinggal sekali lagi jika tidak bersetuju dengan keputusan besar United selepas ini.

Kontraknya di Old Trafford tamat 2023 tetapi laporan mendakwa bintang Portugal itu sedia menamatkannya 12 bulan lebih awal jika pengurus United yang baharu gagal memberikan yang terbaik buat dirinya.

Seperti dilaporkan Daily Star, pemenang lima kali Ballon d'Or itu turut dilaporkan tidak bersetuju jika pengurus sementara Ralf Rangnick dinaikkan pangkat menjadi pengurus baharu United.

Malahan ramai pemain tidak gembira di bawah kendalian Rangnick dan 11 daripada mereka menimbangkan untuk meninggalkan pasukan.

Mauricio Pochettino, Erik Ten Hag dan Brendan Rodgers antara yang dikaitkan dengan kerusi panas di United tetapi keputusan menjadi lebih sukar susulan pendirian terbaru Ronaldo .

Menurut sumber kepada Star: "Ronaldo dilahirkan untuk menang dan mendapat lebih banyak trofi, jadi siapa pengurus selepas ini mempengaruhi keputusannya."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 9:23 PM