ERIKSEN diturunkan ketika bertemu Southend United. FOTO Agensi
ERIKSEN diturunkan ketika bertemu Southend United. FOTO Agensi
AFP

London: Christian Eriksen beraksi kali pertama bersama Brentford dan meraikan ulang tahun kelahiran ke-30 ketika tampil pada perlawanan persahabatan semalam, lapan bulan selepas mengalami serangan jantung.

Bekas bintang Tottenham Hotspur tidak beraksi pada perlawanan rasmi sejak rebah di atas padang ketika beraksi bersama Denmark bertemu Finland di saingan Euro, Jun tahun lalu.

Selepas dipasang dengan alat implantable cardioverter defibrillator (ICD), Eriksen tidak dapat meneruskan kerjayanya bersama Inter Milan kerana peraturan kesihatan di Itali.

Pemain tengah itu kemudian melakukan kejutan kembali ke Liga Perdana dengan menyertai Brentford pada 31 Januari lalu.

Brentford berkata, Eriksen beraksi pada perlawanan pertamanya ketika mencatat kemenangan 3-2 ke atas Southend United yang berlangsung secara tertutup.

Eriksen menjadi arkitek kepada satu gol dan hampir menjaringkan gol tetapi dinafikan oleh penjaga gol lawan.

Bercakap pada sidang media pertamanya sebagai pemain Brentford sebelum ini, Eriksen berkata dia sememangnya yakin dapat beraksi semula selepas insiden di Euro 2020.

"Jika ada sebarang kebimbangan saya tidak akan kembali. Jika saya tidak komited sepenuhnya dan tidak mempercayai doktor dan hati saya, maka saya tidak akan kembali.

"Sekarang saya rasa cergas 100 peratus untuk kembali beraksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 7:46 AM