Pengadil Inggeris, Anthony Taylor berjaya menjalankan tugasnya dengan baik. FOTO Agensi
Pengadil Inggeris, Anthony Taylor berjaya menjalankan tugasnya dengan baik. FOTO Agensi
Agensi

London: Pengadil Inggeris, Anthony Taylor mendapat pujian ketua pengadil UEFA selepas berjaya mengawal situasi ketika Christian Eriksen mengalami serangan jantung ketika perlawanan membabitkan Denmark menentang Finland.

Perancang tengah Denmark itu tiba-tiba rebah hanya sebelum waktu rehat separuh masa perlawanan pada 12 Jun lalu.

Taylor segera mengenal pasti situasi serius dan memberikan isyarat kepada pasukan perubatan untuk bertindak segera.

Penilaian pantasnya, bersama kapten Denmark, Simon Kjaer, mendapat pujian ramai dan ketua pengadil UEFA Roberto Rosetti berkata: "Semua orang mengakui Anthony melakukan tindakan tepat. Dia berjaya mengawal detik sukar dengan cara terbaik.

"Kami sangat bangga dengan tindakannya, kami puji ketenangannya.

"Kami menyarankan kepada semua pengadil keselamatan adalah keutamaan, ia adalah sasaran penting bagi kami. Pengadil harus bersedia untuk memberhentikan perlawanan serta merta dalam situasi seperti itu. Anthony begitu menakjubkan."

Pemain Denmark mengiringi pasukan perubatan yang membawa Christian Eriksen untuk mendapatkan rawatan lanjut pada aksi Euro 2020 pada 12 Jun lalu. FOTO Agensi
Pemain Denmark mengiringi pasukan perubatan yang membawa Christian Eriksen untuk mendapatkan rawatan lanjut pada aksi Euro 2020 pada 12 Jun lalu. FOTO Agensi

Persatuan Bolasepak Denmark Jumaat lalu mengesahkan bahawa Eriksen, bekas pemain Tottenham dan kini bersama Inter Milan sudah keluar dari hospital di Copenhagen.

Dia akan dipasang alat ICD (Implantable Cardioverter Defibrillator).

Eriksen mengadakan lawatan bertemu rakan sepasukannya di Denmark selepas keluar dari hospital dan penjaga gol, Kasper Schmeichel memberitahu CNN: "Gembira dapat bertemunya. Ia membantu ramai orang yang saya fikir sangat ingin bertemu dengannya dan memadamkan situasi kali terakhir kami melihat keadaannya di padang.

"Untuk melihatnya kembali seperti biasa dan dalam keadaan baik .. adalah sangat penting."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 9:26 PM