FAHMI (depan, tengah) bergambar bersama 27 rakan strategik pada Majlis Bersama Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di Wisma Bernama hari ini. FOTO BERNAMA
FAHMI (depan, tengah) bergambar bersama 27 rakan strategik pada Majlis Bersama Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di Wisma Bernama hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil akan merujuk kepada Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman mengenai perkembangan terkini berhubung hak penyiaran kejohanan bola sepak Eropah 2024 (Euro 2024) di stesen penyiaran awam itu.

Beliau mengakui, kejohanan itu mempunyai pengikutnya tersendiri, namun penelitian secara mendalam perlu dilakukan terutama kerana ia bakal melibatkan kos yang tinggi.

"Saya tidak ada maklumat terkini (mengenai status penyiaran Euro 2024) dan kena rujuk dengan Ketua Pengarah Penyiaran.

"Kita kena teliti dari segi kos sebab kita tahu kos terlalu tinggi, jadi kena tengok sama ada telah diperuntukkan. Kalau telah diperuntukkan kita akan ambil, tapi kalau luar daripada apa diperuntukkan itu akan jadi isu," katanya selepas menghadiri Majlis Bersama Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di Wisma Bernama, hari ini.

Baru-baru ini, sebuah portal media mendesak agar RTM membeli hak siaran kejohanan berprestij itu.

RTM sebelum ini menyajikan siaran secara langsung kejohanan seperti badminton, bola sepak dan beberapa sukan lain yang popular di Malaysia.

Kejohanan Euro 2024 akan berlangsung dari 14 Jun hingga 14 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 6:46 PM