ERIKSEN diberikan tepukan gemuruh apabila masuk sebagai pemain gantian. FOTO EPA
ERIKSEN diberikan tepukan gemuruh apabila masuk sebagai pemain gantian. FOTO EPA
Reuters

London: Christian Eriksen kembali dalam aksi kompetitif buat kali pertama sejak rebah akibat serangan jantung tahun lalu di Euro 2020, apabila masuk sebagai pemain gantian ketika Brentford menentang Newcastle United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain tengah Denmark itu, yang memakai alat implantable cardioverter defibrillator (ICD), menyertai kelab London itu secara percuma Januari lalu.

Dia menerima sambutan luar biasa daripada kedua-dua penyokong di Stadium Community Brentford, selepas masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-51, tatkala beberapa pemain juga memberi tepukan buat bekas tonggak tengah Tottenham Hotspur itu.

Eriksen terpaksa diberikan bantuan menyelamatkan nyawanya di atas padang Jun lalu apabila dia rebah ketika aksi bertemu Finland.

Kelab lamanya, Inter Milan terpaksa menamatkan kontrak Disember lalu kerana dia tidak dibenarkan beraksi di Serie A kerana memakai alat berkenaan.

Walaupun Eriksen tidak dapat membantu Brentford bangkit selepas mereka tumpas 0-2 dan bergelut dengan penyingkiran, namun pemain tengah itu berkata, ia adalah saat paling istimewa buatnya.

"Jika anda ketepikan keputusan itu, saya adalah orang paling gembira. Untuk melalui apa yang sudah dilalui, ia sebenarnya menimbulkan perasaan yang luar biasa.

"Thomas (Frank) tidak berkata apa-apa (sebaik masuk ke dalam padang. Saya berbincang dengannya setiap hari beberapa minggu lalu. Beliau hanya mengucapkan selamat beraksi dan menikmati permainan sebaiknya.

"Semua orang berada di sini. Keluarga, ibu bapa, anak-anak, ibu mertua saya dan beberapa orang doktor yang membantu saya. Apa yang mereka lalui lebih sukar berbanding saya lalui," kata Eriksen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 2:42 PM