Kasim ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu di Dewan Serbaguna IPD Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Juwan Riduan
Kasim ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu di Dewan Serbaguna IPD Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Asisten Komisioner Kasim Muda dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu yang baharu berkuat kuasa, hari ini.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah yang bersara wajib selepas bertugas sebagai ketua polis daerah ini sejak April 2021.

Majlis Serah Terima Tugas berlangsung di Dewan Serbaguna IPD Kota Kinabalu disaksikan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Jauteh berkata, semua pegawai yang dilantik menjadi Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu adalah pegawai yang diyakini mampu menggalas tugas yang diberi.

"Kasim menjadi Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu selepas menjawat Ketua Polis Daerah Beluran selama lima tahun.

"Pengalamannya yang cukup luas ini diyakini mampu melaksanakan tanggungjawab bagi menjaga kesejahteraan dan keamanan di ibu negeri," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Beliau berkata, Kota Kinabalu adalah ibu kota kedua paling sibuk di negara ini selepas Kuala Lumpur dan beliau harapkan seramai 1,200 warga IPD Kota Kinabalu akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Kasim dalam mentadbir penugasan kepolisan harian di sini.

Sementara itu, Kasim memberi fokus untuk mengurangkan kadar ketakutan masyarakat terhadap jenayah atau 'fear of crime' di kawasan pentadbiran IPD Kota Kinabalu.

Katanya, beliau juga tekad memegang prinsip tiada hari tanpa tangkapan narkotik berikutan setiap jenayah yang berlaku berkaitan dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, dalam menggalas dan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain meneruskan apa yang diusahakan oleh Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu terdahulu, beliau juga akan membawa perubahan bagi memperbaiki pentadbiran dalam memastikan keamanan di ibu negeri terus terpelihara.

"Saya difahamkan pentadbiran IPD Kota Kinabalu adalah kawasan paling sibuk dan keadaannya sangat berbeza dengan penugasan saya selama lima tahun di Beluran dalam pelbagai aspek.

"Kita akan meneruskan pentadbiran yang sudah dilaksanakan di IPD Kota Kinabalu dan kita akan buat perubahan berdasarkan peredaran masa.

"Saya juga akan memberi fokus kepada usaha mengurangkan kadar ketakutan masyarakat terhadap jenayah atau 'fear of crime' dengan membanteras jenayah bersama-sama komuniti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 5:47 PM