ERIKSEN mengakui sudah bersedia untuk beraksi dalam perlawanan kompetitif. FOTO AFP
ERIKSEN mengakui sudah bersedia untuk beraksi dalam perlawanan kompetitif. FOTO AFP
AFP

London: Christian Eriksen bersedia untuk kembali beraksi bersama Brentford esok selepas kurang daripada setahun peristiwa hitam menimpanya apabila pemain antarabangsa Denmark itu berdepan maut akibat serangan jantung.

Eriksen mengalami serangan jantung ketika beraksi dengan Denmark menentang Finland dalam saingan Euro Jun tahun lalu.

Sekarang pemain berusia 30 tahun itu bersedia untuk beraksi dalam perlawanan kompetitif sejak insiden berkenaan apabila Brentford menanti kunjungan Newcastle dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu ini.

Dia dipaksa meninggalkan Inter Milan disebabkan peraturan Itali tidak membenarkan pemain yang dipasang dengan alat implantable cardioverter defibrillator (ICD) tampil di Serie A.

Eriksen sudah menjalani latihan beberapa minggu bersama Brentford dan menunjukkan peningkatan ketika aksi persahabatan tertutup menentang Southend dan Rangers XI.

Sama ada dia akan membarisi barisan kesebelasan utama atau berada di bangku simpanan menentang Newcastle ia masih menjadi tanda tanya namun pengendali Brentford, Thomas Frank berkata pemain itu akan terbabit peringkat demi peringkat.

"Saya berasa sangat selesa. Ia adalah ujian yang sukar minggu lalu termasuk ketika berdepan Southend.

"Saya merasakan berada pada tahap terbaik dari segi mental begitu juga badan saya kerana pada peringkat ini ia sangat penting.

"Saya sebenarnya agak terkejut kerana badan saya bertindak seperti itu. Sudah tentu saya berlatih bersungguh-sungguh tetapi saya tidak menjangkakan akan menjadi sebaik yang saya rasakan sekarang. Ia pasti sesuatu yang sangat positif," kata Eriksen

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 12:35 PM