AKSI Eriksen bersama Man United. FOTO Reuters
AKSI Eriksen bersama Man United. FOTO Reuters
Agensi

London: Pemain tengah Denmark, Christian Eriksen berkata dia mengadakan perbincangan dengan tiga bekas pengurus Manchester United sebelum akhirnya menyertai kelab itu pada musim panas ini.

Bekas pemain Ajax, Tottenham, Inter Milan dan Brentford itu menandatangani kontrak tiga tahun di Old Trafford.

Eriksen mengadakan perbincangan dengan bekas bos United, Louis van Gaal, Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer.

Katanya, bos United yang baharu, Erik ten Hag adalah punca utama dirinya menyertai United.

"Saya telah bercakap dengan setiap pengurus yang pernah berada di Man United untuk melihat situasi yang berlaku," kata pemain berusia 30 tahun itu.

"Saya bersama Spurs untuk masa yang lama. Kemudian saya mahu mencuba sesuatu yang baharu dan akhirnya menyertai Inter.

"Untuk berada di sini adalah sesuatu yang saya sendiri tidak sangka boleh berlaku."

Eriksen kembali beraksi awal tahun ini selepas memasang Implantable Cardioverter Defibrillator (ICD) di jantungnya berikutan mengalami serangan jantung pada saingan Euro.

Dia bagaimanapun tidak kekal lama di Inter berikutan peraturan di Itali yang melarang mana-mana pemain beraksi sekiranya dilengkapi ICD.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 9:45 PM