SEBAHAGIAN aksi barisan pemain Man United ketika bertemu Newcastle. FOTO AFP
SEBAHAGIAN aksi barisan pemain Man United ketika bertemu Newcastle. FOTO AFP
AFP

London: Ralf Rangnick berkata krisis yang berpunca daripada Covid-19 menyebabkan Manchester United mempamer aksi di bawah prestasi sebenar mereka.

United tidak tewas kesemua empat perlawanan di bawah bimbingan pengendali sementara dari Jerman itu yang menggantikan Ole Gunnar Solskjaer, bulan lalu.

Bagaimanapun penularan Covid-19 di kelab itu menyaksikan United tidak dapat beraksi selama lebih dua minggu sebelum mencatat keputusan mengecewakan apabila seri 1-1 dengan pasukan sedang bergelut, Newcastle.

United yang akan menanti kunjungan Burnley awal pagi esok, ketika ini menduduki tangga ketujuh Liga Perdana, ketinggalan tujuh mata di belakang Arsenal di tempat keempat namun masih kurang dua perlawanan.

Ditanya adakah beliau meraih apa yang dimahukannya pada minggu pertama mengendalikan kelab itu, Rangnick berkata: "Sudah tentu tidak.

"Setiap jurulatih mempunyai keinginan yang tinggi dan ia tidak ada bezanya antara saya dengan jurulatih lain iaitu mahu meraih pencapaian lebih baik.

"Tetapi untuk melakukan perkara itu, anda perlu menjalani latihan.

"Seperti yang anda tahu, kami terpaksa menutup pusat latihan di Carrington selama empat hari. Sebelum itu kami mempunyai antara lapan atau sembilan pemain yang tidak dapat sertai pasukan.

"Selepas perlawanan bertemu Norwich, mereka hanya kembali dengan jumlah yang kecil.

"Sejak tiga hari lalu, kami hampir memperoleh skuad lengkap tetapi tidak banyak dapat dilakukan ketika sesi latihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 9:02 AM