RONALDO dan Cavani  boleh beraksi menentang Spurs.
RONALDO dan Cavani boleh beraksi menentang Spurs.
Reuters

London: Penyerang Manchester United, Cristiano Ronaldo dan Edinson Cavani kembali cergas dan sedia diturunkan ketika menentang Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana di tempat sendiri awal pagi Ahad ini, menurut pengurus, Ralf Rangnick.

Ronaldo tidak beraksi dalam pertembungan 'derby' Manchester minggu lalu susulan kecederaan pinggul manakala Cavani tidak bermain sejak awal Februari lalu akibat masalah pangkal paha.

United tekad bangkit daripada kekalahan 1-4 di Manchester City yang meletakkan skuad Rangnick di tangga kelima, satu mata di belakang Arsenal dan dua mata mengatasi Spurs yang berkelebihan dua perlawanan dalam tangan.

"Cristiano kembali menjalani latihan semalam. Dia berlatih sesi penuh dan saya menjangkakan dia akan turut berlatih hari ini," kata Rangnick kepada wartawan.

"Dia berlatih dengan baik seperti rakan sepasukan yang lain, jadi saya fikir dia boleh diturunkan untuk menentang Spurs. Apa yang penting dia dan Edi sudah kembali berlatih dan kedua-duanya boleh diturunkan untuk perlawanan itu."

Tetapi pertahanan kiri, Luke Shaw tersisih akibat Covid-19 manakala kedudukan pemain tengah, Scott McTominay juga masih diragui.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 11:12 PM