PENYOKONG Manchester United melakukan protes terhadap keluarga Glazer di Old Trafford pada 24 April 2021. FOTO FAIL REUTERS
PENYOKONG Manchester United melakukan protes terhadap keluarga Glazer di Old Trafford pada 24 April 2021. FOTO FAIL REUTERS
AFP

London: Penyokong Manchester United merancang akan melakukan protes terhadap keluarga Glazer yang juga pemilik kelab bola sepak gergasi Inggeris itu, Sabtu ini.

Kumpulan penyokong yang digelar 'The 1958' menganjurkan perarakan protes yang akan berakhir di Old Trafford, sebelum perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Norwich.

The 1958 yang mahu mendapatkan sokongan bagi perarakan itu, menerusi Twitter, menyatakan: "Kelab dalam keadaan kucar-kacir dan kita perlu bertindak serta meningkatkan kesedaran lagi."

Menurutnya, demonstrasi Sabtu ini adalah permulaan bagi 'protes aman secara berterusan dan mengikut undang-undang terhadap keluarga Glazer' berbanding 'Liverpool lain.'

Pada April tahun lalu, sekumpulan penyokong United menyerbu pusat latihan kelab di Carrington dan ramai lagi memasuki Old Trafford sebelum perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Liverpool, hingga menyebabkan perlawanan itu ditangguhkan.

United kini dimiliki keluarga Glazer yang berasal dari Amerika Syarikat selepas pengambilalihan secara kontroversi pada 2005.

Keluarga Glazer langsung tidak pernah digemari penyokong United, tetapi reputasi mereka semakin merudum selepas memainkan peranan utama untuk melancarkan Liga Super Eropah.

Pengerusi bersama United, Joel Glazer dinamakan sebagai naib pengerusi pertandingan yang gagal dilaksanakan itu apabila semua enam kelab Liga Perdana Inggeris menarik diri susulan kecaman daripada umum.

Ramai penyokong United menyalahkan keluarga Glazer susulan prestasi tidak menentu pasukan itu.

Pemenang rekod juara England sebanyak 20 kali itu tidak menang Liga Perdana Inggeris sejak musim terakhir Sir Alex Ferguson membimbing pasukan pada musim 2012/13 dan tiada trofi dibawa ke Old Trafford dalam tempoh lima tahun terakhir.

Musim ini, United memecat pengurus, Ole Gunnar Solskjaer pada November dan kini menduduki tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris di bawah bimbingan pengendali sementara, Ralf Rangnick.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 11:01 PM