SKUAD Harimau Malaya bakal berdepan cabaran getir bertemu Vietnam. FOTO AFF
SKUAD Harimau Malaya bakal berdepan cabaran getir bertemu Vietnam. FOTO AFF
Firdaus Hashim


Singapura: Meskipun di atas kertas Vietnam dilihat cukup ampuh menerusi rekod empat kemenangan dalam lima pertemuan akhir sejak 2018 lalu, namun ia bukan halangan buat skuad Harimau Malaya untuk mencipta kejutan di Stadium Bishan, malam esok.

Mengulas aksi getir berdepan skuad Naga Emas dalam aksi ketiga Kumpulan B Piala AFF itu, pengendali negara Tan Cheng Hoe percaya, anak buahnya mampu menghadirkan kejutan ke atas lawan.

"Vietnam sudah capai satu tahap tertinggi di peringkat antarabangsa dan itu satu kelebihan buat mereka. Kedua-dua pasukan sudah bertembung beberapa kali sejak tiga tahun lalu dan kami tidak dapat keputusan yang baik bertemu mereka.

"Sudah tentunya sebagai jurulatih dan juga pemain-pemain saya, mereka mahu beri kejutan ke atas Vietnam. Kita tahu pemain yang mereka ada, namun yang paling penting kami ada strategi terbaik untuk bertemu Vietnam nanti," kata jurulatih negara berusia 53 tahun itu.

Berdasarkan rekod pertemuan, sejak Cheng Hoe mengendalikan pasukan negara pada hujung 2017, beliau sudah lima kali berdepan skuad bimbangan Park Hang-seo dengan tiga daripadanya dalam saingan Piala AFF 2018 serta kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dalam Kumpulan G.

Sepanjang pertembungan itu, Malaysia tewas di tangan Vietnam empat kali dan seri sekali dengan pertemuan terakhir di Kelayakan Piala Dunia pada Jun lalu di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menyaksikan skuad negara tumbang 1-2.

Malah, perlawanan malam esok juga boleh dianggap sebagai penebus kehampaan final Piala AFF 2018 lalu, di mana pasukan negara hampa apabila tewas 2-3 secara agregat di tangan lawan yang sama.

Menurut Cheng Hoe lagi, pemain perlu sentiasa fokus dan elak melakukan kesilapan individu bagi memastikan pasukan berada pada landasan tepat untuk menempah slot ke separuh akhir.

"Paling penting pemain kena fokus dan beri tumpuan sepenuhnya pada setiap saat dalam perlawanan, dan jangan lakukan kesilapan individu dan paling penting, kita kena bekerjasama sama ada ketika menyerang dan bertahan.

"Sudah tentu biasanya agak sukar menembusi benteng mereka, tapi selaku jurulatih kita kena cari jalan bagaimana untuk mendapatkan keputusan yang baik apabila lawan Vietnam.

"Keputusan perlawanan agak sengit (keputusan perlawanan sebelum ini) dan saya harap pemain dapat beri kejutan dan dapat keputusan yang positif kali ini," katanya.

Skuad Harimau Malaya kini memimpin carta Kumpulan B dengan enam mata selepas merakam dua kemenangan ke atas Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, sekali gus meninggalkan pencabar lain di belakang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 5:25 PM