Hamidin (kiri) mahu Harimau Malaya tekadkan semangat sahut cabaran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir. FOTO HM Digital
Hamidin (kiri) mahu Harimau Malaya tekadkan semangat sahut cabaran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir. FOTO HM Digital
BERNAMA

PUTRAJAYA: Skuad Harimau Malaya bertekad untuk muncul juara Piala AFF Suzuki 2018, sekali gus tidak mahu menghampakan harapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh rakyat Malaysia.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata amanat serta kata-kata semangat Dr Mahathir dalam pertemuan dengan skuad Harimau Malaya dan jurulatih di Perdana Putra hari ini, menyuntik semangat pasukan untuk beraksi cemerlang pada aksi akhir kejohanan itu.

Dalam pertemuan itu, Dr Mahathir yang akan menyaksikan perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan, meminta skuad Harimau Malaya agar tidak mengecewakannya dan negara dengan berusaha untuk mencapai kemenangan.

Perlawanan akhir Piala AFF akan menggunakan format timbal balik dengan skuad negara bakal melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Disember, sebelum aksi final kedua di Hanoi, 15 Disember ini.

“FAM terima cabaran daripada Tun Dr Mahathir untuk muncul juara Piala AFF Suzuki edisi kali ini.

“Skuad Harimau Malaya perlu bekerja lebih keras supaya tidak menghampakan hasrat Tun (Dr Mahathir) dan rakyat Malaysia,” kata Hamidin kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Dalam pada itu, Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya Tan Cheng Hoe berterima kasih dengan amanat dan kata-kata semangat yang diberikan Dr Mahathir dan akan mengambilnya sebagai pembakar semangat.

Cheng Hoe mahu pemainnya mengekalkan momentum, corak permainan dan keyakinan menjelang perlawanan akhir nanti, setelah menunjukkan keyakinan dan komitmen yang tinggi semasa aksi separuh akhir menentang Thailand.

“Kita yakin mampu mencatat keputusan yang baik pada Selasa depan ketika beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil. Yang penting, seperti Dr Mahathir katakan, barisan pemain kena berdisiplin dan semangat kena kuat,” katanya.

Malaysia mara ke perlawanan akhir selepas mengikat juara bertahan Thailand 2-2 pada aksi separuh akhir kedua di Bangkok, Rabu lalu.

Keputusan itu sudah mencukupi untuk skuad Harimau Malaya layak ke pentas akhir menerusi peraturan gol di tempat lawan, selepas seri tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, 1 Disember lalu.

Sementara itu, tonggak pertahanan Aidil Zafuan Abdul Razak berkata skuad Harimau Malaya akan bermain bersungguh-sungguh untuk “membalas dendam” setelah tumpas 0-2 kepada Vietnam dalam perlawanan peringkat kumpulan.

“Kami akan bermain bersungguh-sungguh demi negara. Kami akan berikan terbaik dalam dua aksi perlawanan akhir ini,” katanya.

  • Lagi berita Piala AFF
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 10:52 PM