Aksi Harimau Malaya berdepan UAE yang berakhir dengan UAE menang 4-0. FOTO Ihsan FAM
Aksi Harimau Malaya berdepan UAE yang berakhir dengan UAE menang 4-0. FOTO Ihsan FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya akan bangkit dalam baki dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bagi memenuhi sasaran untuk layak secara automatik ke Piala Asia sambil mengintai peluang ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia.

Kekalahan 0-4 ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Zabeel, Dubai awal pagi tadi meletakkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe pada situasi tipis untuk merebut lapan slot kelayakan Piala Dunia ekoran kekalahan besar itu.

Namun, peluang lebih cerah untuk mencuri tiket ke Piala Asia dengan pasukan negara tidak boleh keciciran mata apabila wajib meraih enam mata maksimum dalam dua aksi berikutnya menentang Vietnam dan Thailand selepas ini.

Berdasarkan format terbaru dan kiraan secara matematik, skuad negara kini hanya memiliki tiga mata dalam tangan selepas kemenangan dengan Indonesia tidak diambil kira ekoran penarikan diri Korea Utara daripada kejohanan.

Cheng Hoe pada sidang media selepas aksi dengan UAE mengakui, anak didiknya ketika ini cukup kecewa susulan kekalahan besar kepada skuad The Whites namun percaya aksi lebih kemas bakal diperagakan bermula dengan aksi bertemu Vietnam di Stadium Al Maktoum, Dubai, 11 Jun ini.

"Sebagai jurulatih, saya percaya pemain saya tetap positif bagi mengharungi perlawanan akan datang dan kami masih ada beberapa hari untuk melakukan persiapan.

"Dalam tempoh itu, kita juga akan kenal pasti kelemahan serta kelebihan pasukan terutamanya ketika sesi latihan dalam usaha mencatat keputusan positif ketika menentang Vietnam nanti.

"Saya juga percaya, Vietnam sudah melakukan analisis terhadap permainan kita dan mereka juga adalah pasukan yang kuat pada aksi kelayakan kali ini," katanya yang membawa pasukan muncul naib juara Piala AFF pada 2018 lalu.

Pada aksi itu, skuad Harimau Malaya tewas 0-4 menerusi jaringan Ali Makhbout pada minit ke-19 dan Fabio Lima (82) sebelum kedua-dua pemain terbabit sekali lagi menjaringkan gol pada masa kecederaan sekali gus melebarkan rekod 12 kemenangan ke atas Malaysia daripada 15 pertemuan sejak 1980.

Mengulas mengenai UAE, Cheng Hoe akui pasukan negara beraksi di bawah tahap sebenar dan gagal memberi cabaran bermakna ke atas pemain tuan rumah yang mendapat sentuhan bekas jurulatih Belanda, Bert van Marwijk.

"Saya percaya pemain sudah berikan yang terbaik dan sepenuh komitmen dalam aksi ini, tapi masih tak cukup baik untuk raih keputusan yang positif.

"Kami perlu bermain lebih konsisten selepas ini, di mana pertahanan dan bahagian serangan kami hilang fokus terutama kami gagal mengekang pemain nombor 7 (Ali Makhbout) yang bermain baik. Kami kena bangkit semula," kata Cheng Hoe.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 3:20 PM