OLE Gunnar Solskjaer. FOTO EPA
OLE Gunnar Solskjaer. FOTO EPA
Agensi

London: Ole Gunnar Solskjaer yakin mampu mengubah nasib Manchester United dan tidak akan meninggalkan Old Trafford.

Solskjaer kembali bertugas minggu ini dan cuba untuk menerapkan aura positif pada sesi latihan dalam usahanya untuk melupakan enam kekalahan daripada 12 perlawanan setakat ini.

United akan berdepan tugas getir apabila bertemu Watford di tempat lawan esok diikuti kunjungan ke Villarreal pada aksi Kumpulan F, Liga Juara-Juara.

Jika mereka gagal melangkah ke pusingan seterusnya untuk musim kedua berturut-turut, ia pasti akan mengubah pandangan ahli lembaga kelab terhadapnya.

Bagaimanapun di sebalik tewas 0-5 kepada Liverpool dan 0-2 di tangan Manchester City, beliau percaya anak buahnya masih mampu mencabar kejuaraan liga.

Beberapa pemain senior kini mula meragui taktikal Solskjaer dan pemilihan pemain dalam pasukan.

Man United sudah berputus asa untuk melanjutkan kontrak Paul Pogba dengan dia kini sedang melalui proses pemulihan selepas mengalami kecederaan paha.

Difahamkan barisan pemain bintang lain seperti Cristiano Ronaldo dan Bruno Fernandes percaya mereka perlu mempamerkan aksi lebih baik.

Manakala pemain seperti Donny van de Beek dan Jesse Lingard tidak faham mengapa mereka kurang diberikan peluang untuk beraksi.

Kedua-duanya sedang mempertimbangkan untuk berhijrah ke pasukan lain pada jendela perpindahan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 9:01 AM