MAMPUKAH Solskjaer merapatkan jurang dengan Liverpool dan City. FOTO AFP
MAMPUKAH Solskjaer merapatkan jurang dengan Liverpool dan City. FOTO AFP
AFP

London: Manchester United mempamerkan peningkatan mendadak ketika Ole Gunnar Solskjaer kali pertama memimpin pasukan dalam satu musim penuh apabila berjaya menduduki tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) dan mara sehingga ke separuh akhir dalam tiga saingan merebut piala.

Bagaimanapun, dengan United masih lagi ketinggalan di belakang musuh tradisi Liverpool dan Manchester City dalam kedudukan liga, pengendali kelahiran Norway itu sekali lagi akan menjadi tumpuan untuk cabaran lebih serius buat Red Devils meraih gelaran EPL kali pertama sejak Alex Ferguson bersara pada 2013.

Anak buah Solskjaer akan memulakan kempen liga di tempat sendiri berdepan Crystal Palace awal pagi Ahad ini selepas mereka masih belum tewas 14 perlawanan EPL sejak menandatangani Bruno Fernandes Januari lalu.

Barisan tengah United diperkukuhkan lagi dengan kehadiran pemain Belanda, Donny Van de Beek tapi skuad Solskjaer masih lagi kelihatan rapuh di beberapa bahagian.

Tiga kemenangan ke atas City dan Chelsea musim lalu membuktikan United mampu saja menumpaskan pasukan teratas EPL namun di hujung musim terutama ketika tumpas di separuh akhir Liga Europa kepada Sevilla ia menunjukkan mereka masih belum mempunyai satu skuad besar yang mantap.

Solskjaer enggan melakukan sebarang pertukaran ketika berdepan wakil Sepanyol itu sehinggalah pada minit ke-87 apabila beliau seperti tidak mempunyai banyak pilihan untuk mengubah permainan.

Kehadiran Van de Beek tidak dirasakan mampu untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Selepas spekulasi yang lama, Jadon Sancho kekal di Borussia Dortmund apabila United enggan menurut kehendak kelab Jerman itu yang meminta mereka membayar €120 juta (RM586 juta).

Penambahbaikan di bahagian pertahanan juga tidak berlaku walaupun gergasi England itu kembali beraksi di Liga Juara Juara.

Persoalan juga timbul sama ada United mampu untuk mengurangkan jurang dengan Liverpool dan City dengan kemampuan Solksjaer dibandingkan bersama jurulatih bertaraf dunia, Jurgen Klopp dan Pep Guardiola.

Solksjaer membuat satu keputusan berat sebelum kempen bermula dengan terus mempercayai kemampuan Harry Maguire sebagai ketua pasukan walaupun pemain antarabangsa England itu dijatuhkan hukuman penjara tertangguh 21 bulan dan sepuluh hari selepas didapati bersalah merasuah, melakukan keganasan dan mencederakan petugas awam ketika ditahan di Mykonos.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 1:01 PM