FAIZOL Nazlin menegaskan KAFA dilihat seolah memilih bulu dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji. FOTO Ihsan Kelantan United FC
FAIZOL Nazlin menegaskan KAFA dilihat seolah memilih bulu dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji. FOTO Ihsan Kelantan United FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Kami semua dah mati akal, tak tahu nak minta kat siapa. Bila tanya Zamsaham (Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman), dia suruh minta dekat KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan). Tapi bila tanya KAFA, mereka senyap dan langsung tak respon apa-apa."

Itu luahan sebilangan bekas pemain Kelantan, Faizol Nazlin Sayuti yang bingung dengan tindakan pengurusan KAFA mendiamkan diri mengenai tunggakan gaji yang sangkut sejak 2018 lalu.

Jelas Faizol, dia terpanggil untuk mendedahkan kepincangan itu selepas membaca pendedahan Arena Metro berkenaan bekas pemain import The Red Warriors (TRW) dari Korea Selatan, Kang Seung Jo yang menuntut tunggakan sama.

Katanya, dia yang mewakili beberapa pemain tempatan yang lain seperti Syazwan Yusoff, Fakhrul Zaman Zawawi, Khairul Izuan Rosli dan lain-lain sudah melakukan segala-galanya bagi menuntut hak mereka namun segalanya sia-sia.

"Kami dah laporkan kepada PFAM (Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia) dua tahun lepas tak silap saya, tapi mereka juga tak dapat berbuat apa-apa kerana KAFA sendiri senyap dan tak beri kerjasama.

"Saya juga ada mesej Zamsaham di Facebooknya kerana tidak ada nombor dia...dan dia balas minta kami berhubung dengan KAFA kerana semua wang untuk membayar hutang tunggakan gaji dah diberikan kepada KAFA.

"Tapi bila saya hubungi KAFA, memang mereka tak balas atau senyap begitu sahaja. Kami dah lama tunggu sejak 2018 lagi, dan tunggakan saya bukan sikit hampir RM69,000," katanya ketiak dihubungi Arena Metro.

Lebih mengecewakan tegasnya, KAFA dilihat seolah memilih bulu dalam menyelesaikan isu terbabit di mana pemain ternama seperti Khairul Fahmi Che Mat, Amirizdwan Taj dan Mohd Badhri bin Mohd Radzi sudah diselesaikan, sebaliknya tonggak lain digantung tak bertali.

"Apek (Khairul Fahmi) dan Taj semuanya KAFA dah bayar. Tapi kami tak bayar langsung, siap buat senyap saja. Mungkin sebab kami bukan nama besar kot...tak adil begitu kerana kebajikan pemain adalah sama dan kami juga menyumbang sesuatu buat pasukan," katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Seung Jo menuntut tunggakan gaji dan kos penerbangan berjumlah RM66,100 yang sangkut sejak semusim lalu.

Untuk rekod, Kelantan FC dibeli oleh usahawan tempatan, Norizam Tukiman pada September tahun lalu dengan nilai RM6.8 juta.

Berdasarkan persetujuan antara KAFA dan Norizam, segala tunggakan gaji adalah tanggungjawab KAFA yang menegaskan akan menggunakan hasil penjualan pasukan untuk melangsaikan semua tuntutan hutang termasuk tunggakan gaji pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 10:02 PM